BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | 

MYEG, Heitech Padu Mula Bekerjasama Laksana Projek e-kerajaan

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- MY E.G Services Bhd (MYEG) dan Heitech Padu Bhd hari ini mengumumkan permulaan kerjasama kedua-dua syarikat bagi memastikan kejayaan pelaksanaan pelbagai projek e-kerajaan di Malaysia.

MYEG dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kerjasama tersebut selaras dengan Perjanjian Kerjasama yang dimeterai oleh kedua-dua pihak pada 15 April 2024.

“Perjanjian itu membuka jalan kepada kedua-dua syarikat untuk menggabungkan kekuatan dan kepakaran masing-masing dalam memenuhi amanah yang diberikan bagi melaksanakan projek e-kerajaan yang penting.

"MYEG dan Heitech Padu menyasarkan bekerja secara sinergi untuk menerapkan teknologi yang paling inovatif dalam memangkin revolusi digital sektor awam dan akhirnya membolehkan perkhidmatan kerajaan disampaikan kepada pengguna akhir pada tahap yang sentiasa tinggi," katanya.

Baru-baru ini, HeiTech Padu memperoleh kontrak daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia untuk membina, membekal, menghantar, memasang, konfigurasi, menyepadukan, menguji dan mengoperasikan perkakasan, perisian dan sistem digitalnya.

Syarikat itu turut mendapat projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIIse) daripada Jabatan Imigresen Malaysia bernilai RM892.19 juta.

"Setelah memulakan operasi hampir 25 tahun lalu, MYEG berharap untuk menggunakan rekod prestasi terbukti dan keupayaan teknologinya bagi menyokong serta melengkapkan Heitech Padu untuk manfaat semua pihak berkepentingan," kata MYEG.

-- BERNAMA