BERITA TERKINI   Senarai nama calon Ketua Pesuruhjaya SPRM telah dipersembah kepada Agong hari ini - PM Anwar | Inisiatif Rumah Bangsa tarik lebih 10,000 ahli baharu dengan lebih 6,000 merupakan pemuda - Ahmad Maslan | Polis Johor tumpaskan sindiket dadah dengan nilai rampasan dan sitaan RM1.95 juta, tahan empat individu - Ketua Polis Johor  | Isu hutang jadi motif kepada insiden tembakan yang mengorbankan tiga individu di Kota Tinggi - Ketua Polis Johor | Kutipan cukai langsung LHDN cecah RM203.9 bilion pada 2025, julung kali melepasi paras RM200 bilion - PM Anwar | 

Industri Runcit Dijangka Pulih Menjelang Hujung Tahun - MUI Group

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Industri runcit dijangka pulih menjelang hujung tahun ini selepas mengalami pertumbuhan pasaran yang lemah dalam dua bulan kebelakangan ini, kata Malayan United Industries Bhd (MUI Group).

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Andrew Khoo berkata industri itu mengalami penurunan ekoran ringgit yang kukuh menyebabkan pelanggan melancong ke luar negara, sementara yang lain menangguhkan perbelanjaan untuk musim perayaan hujung tahun.

"Kita sedang menunggu musim perayaan (seperti Krismas) dan kebanyakan peruncit mengatakan ia waktu terbaik sepanjang tahun. 

"Jadi kami menjangkakan pemulihan menerusi peningkatan perbelanjaan daripada pelanggan," katanya kepada Bernama selepas melancarkan kedai konsep utama Metrojaya di sini hari ini.

Untuk tahun depan, kumpulan itu optimistik dengan berhati-hati tentang pertumbuhan ekonomi dengan rangsangan berterusan susulan pengumuman Belanjawan 2025, katanya.

Kedai konsep utama Metrojaya di Mid Valley Megamall itu merupakan kedai gaya hidup hibrid seluas 30,000 kaki persegi, menempatkan lebih 51 jenama, meliputi kategori utama seperti wangian dan kosmetik; fesyen wanita, lelaki dan kanak-kanak, aksesori, pakaian dalam dan perkakasan rumah.

Khoo berkata pengalaman membeli-belah yang diperbaharui itu adalah untuk menghidupkan semula konsep pasar raya runcit Metrojaya terdahulu.

"Semasa tahun-tahun kegemilangan Metrojaya pada 1980-an dan 1990-an, kami menjadi tumpuan utama. Pelanggan juga mencari barangan inovatif di bahagian fesyen dan peralatan rumah kami.

"Selepas 50 tahun, kami ingin kembali kepada semangat inovasi yang sama dengan pembukaan kedai konsep baharu ini. Kami akan berusaha untuk mengekalkan warisan peruncit dengan tradisi yang dipercayai untuk kualiti dan terus berkembang dalam persekitaran beli-belah yang dinamik," katanya.

-- BERNAMA