BERITA TERKINI   Kerajaan tidak pernah bincang cadangan cukai langganan ChatGPT - Fahmi | Jenayah pedofilia, aktiviti penipuan di media sosial tidak boleh diberi peluang untuk berleluasa - Fahmi | Kerajaan tidak berkompromi terhadap keselamatan kanak-kanak dan keluarga di media sosial - Fahmi | Sambutan Deepavali tahun ini diharap bawa Malaysia ke arah cahaya lebih bergemerlapan - PM Anwar | 

Kerajaan Akan Bantu TNB Realisasikan Bersama Inisiatif Grid Kuasa ASEAN - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memikirkan cara untuk memastikan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dapat memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bersempena kepengerusian ASEAN yang akan diambil alih Malaysia pada 2025,  APG merupakan antara fokus utama kerajaan dengan matlamat menjadikan negara dan rantau ini sebagai hab utama tenaga pada masa depan.

"Kerajaan sedar pelaburan itu adalah terlalu besar dan sedang memikirkan cara agar TNB dapat bersama dengan kelompok yang lain menjayakan APG," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 TNB di Pusat Konvensyen Leo Moggie, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata beliau mahu TNB segera mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan arang batu dan beralih kepada tenaga boleh baharu (TBB).

"Green Building Index (Indeks Bangunan Hijau), Green Pathway (inisiatif menggalakkan kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar) ini semua yang tidak pernah dengar dan difikirkan pengurusan lama. Ini adalah tuntutan zaman dan jika mahu Malaysia berjaya kita harus mempunyai keupayaan, kecekalan untuk bertindak merubah dengan segera dan berani," kata beliau. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata TNB telah merangka penyelidikan rapi dan mencari jalan serta kaedah supaya peralihan tenaga berjalan lancar.

"TNB yang mempunyai rekod cemerlang dalam pelbagai bidang, sekarang tercabar untuk melakukan peralihan dan persiapan peralihan tenaga.

"TNB perlu segera melakukan peralihan ini, membuat persiapan untuk terus merangka melalui penyelidikan supaya peralihan tenaga kita berjalan dengan rapi dan berkesan,” kata Perdana Menteri.

--BERNAMA