BERITA TERKINI   Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | 

Fahmi Tiba Di Turkiye Bagi Lawatan Kerja Tiga Hari, Wakil Asia Di COMCEC

Daripada S. Kisho Kumari

ISTANBUL, 3 Nov (Bernama) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan kerja tiga hari ke Turkiye, termasuk menghadiri Sesi Ke-40 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ini merupakan kunjungan rasmi pertama beliau ke Turkiye sejak memegang jawatan itu pada 2 Dis, 2022 dan berperanan sebagai jurucakap Kerajaan Perpaduan.

Program pertama Fahmi adalah bertemu dengan kalangan diaspora Malaysia di Turkiye.

Selain itu, beliau juga dijadual memberi kenyataan sebagai wakil Kumpulan Asia negara-negara anggota OIC di COMCEC dan menjadi antara tiga wakil selain Qatar serta Senegal.

Jadual padat Fahmi akan diteruskan dengan menghadiri mesyuarat dua hala bersama negara-negara anggota OIC bagi meninjau bidang yang berpotensi dalam meningkatkan kerjasama berkaitan komunikasi dan keselamatan dalam talian.

Beliau dijadual menyertai satu sesi perkongsian pendapat bertemakan “Digital Transformation of Payment Systems in OIC Member Countries” (Transformasi Digital Sistem Pembayaran di Negara Anggota OIC).

Sesi ke-40 Menteri-Menteri COMCEC akan diadakan di Lütfi Kirdar Congress Centre di Istanbul pada 2-5 Nov 2024 dan disertai delegasi negara-negara anggota, pemerhati dan wakil Sekretariat Agung, institusi gabungan OIC selain organisasi antarabangsa lain.

Objektif utama COMCEC adalah untuk menangani cabaran ekonomi serta menyumbang kepada usaha pembangunan negara-negara anggota.

Pada masa sama, ia turut berperanan sebagai sebagai platform dialog dasar untuk menghasilkan serta menyebar luas pengetahuan, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, membangunkan persefahaman bersama serta dasar bagi negara-negara anggota.

-- BERNAMA