BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

RSPO, HCVN Meterai MoU Untuk Perkukuh Perlindungan Ekosistem Dalam Industri Minyak Sawit

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 11 Nov (Bernama) -- Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) hari ini dengan rangkaian pengurusan nilai pemuliharaan tinggi (HCVN) untuk meningkatkan usaha dalam melindungi hutan HCV dan stok karbon tinggi (HCS) yang penting kepada pengeluaran minyak sawit mampan.

MOU itu membentuk komitmen bersama untuk melindungi ekosistem kritikal ini yang memainkan peranan penting dalam memulihara biodiversiti dan menyokong pengurusan tanah secara bertanggungjawab dalam sektor minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Joseph D’Cruz berkata perkongsian dengan HCVN sejajar dengan penerimaan Piawaian RSPO 2024 yang akan datang, ia akan mengukuhkan penggunaan RSPO dalam pendekatan bersepadu HCV-HCS.

“Penggunaan Piawaian RSPO 2024 menyediakan peluang ideal untuk menekankan perkongsian kami dengan HCVN. Piawaian yang dikemas kini ini mengukuhkan komitmen RSPO untuk melindungi ekosistem penting, pada masa sama menawarkan panduan  jelas dan boleh diambil tindakan untuk penanaman kelapa sawit secara bertanggungjawab.

"HCVN telah meningkatkan Piawaian RSPO, meletakkannya sebagai alat utama untuk menangani penebangan hutan dalam rantaian bekalan global," katanya pada Persidangan Meja Bulat Tahunan RSPO (RT2024) di sini.

Sementara itu, Pengarah Global HCVN Belinda Bowling berkata usaha bersama itu ditujukan untuk menyokong ekosistem berdaya tahan, mencegah kehilangan biodiversiti dan menyepadukan pertimbangan HCV ke dalam piawaian pengeluaran yang mampan.

"Kami bersatu dalam mengejar matlamat kemampanan global, berusaha untuk memastikan amalan minyak sawit yang memberi manfaat kepada manusia, alam semula jadi dan masa depan planet kita," kata Bowling.

MOU itu dibina atas kerjasama bertahun-tahun antara RSPO dan HCVN untuk melindungi ekosistem dan biodiversiti serta tapak dan sumber yang penting kepada orang asli dan komuniti tempatan.

Sejak menerima pakai pendekatan HCV pada November 2005 dan pendekatan HCS pada November 2018, Pensijilan RSPO telah melindungi lebih 466,600 hektar hutan HCV dan HCS bernilai tinggi setakat 2023.

Dalam pada itu, RSPO turut menandatangani MOU dengan Global Green Chemicals Public Company Limited (GGC) dan Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) untuk mengembangkan perkongsian berfokuskan iklim.

Ketua Jabatan Teknikal dan Pekebun Kecil RSPO Francisco Naranjo berkata MOU itu bertujuan untuk memupuk perkongsian kolaboratif yang menyepadukan pengurangan kesan iklim dalam Pensijilan RSPO melalui Projek Pengeluaran dan Perolehan Minyak Sawit Mampan mengenai Tebatan dan Adaptasi Iklim (SPOPP CLIMA) dibiayai oleh GGC.

Beliau berkata GIZ akan mengetuai pelaksanaan inisiatif SPOPP CLIMA.

“MOU antara GGC, GIZ, dan RSPO menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkasakan pekebun kecil untuk mengguna pakai amalan mampan, meletakkan mereka sebagai pemain utama dalam memerangi perubahan iklim dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada pengeluaran minyak sawit,” katanya.

-- BERNAMA