BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar US

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini dalam persekitaran sentimen berhati-hati berikutan perkembangan ekonomi global semasa, kata seorang penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.4675/4755 berbanding dolar US daripada 4.4705/4750 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran masih berhati-hati mengenai Donald Trump yang dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) untuk penggal kedua, situasi geopolitik semasa dan kesan terhadap prospek ekonomi untuk 2025 dan pelbagai perkara lain.

"Sentimen pasaran nampaknya fokus kepada perkembangan geopolitik terutamanya konflik antara Ukraine dan Rusia, mengakibatkan hasil Perbendaharaan AS jatuh kepada 4.33 peratus, malam tadi sebelum meningkat semula kepada 4.40 peratus.

“Indeks Dolar AS (DXY) turut meningkat kepada paras tertinggi, 106.81 mata sebelum turun kepada 106.21 mata,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau berkata dagangan USD/MYR akan terus kekal dalam mod berhati-hati walaupun dari sudut analisis teknikal, ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual, menjadikannya menarik kerana Rizab Persekutuan AS dijangka akan menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada daripada 5.6449/6506 ketika ditutup pada Selasa dan merosot berbanding euro kepada 4.7387/7472 daripada 4.7150/7198 semalam, bagaimanapun melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.8871/8926 daripada 2.9078/9109 sebelumnya.

Unit tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama. 

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.61 daripada 7.60/7.61 pada penutupan Selasa dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 281.9/282.5 daripada 282.1/282.5 semalam manakala ia berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.3412/3477 daripada 3.3345/3381 semalam dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.9388/9728 daripada 12.9201/9384 sebelum itu. 

-- BERNAMA