BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Selangor Catat Pelaburan Sektor Pembuatan, Perkhidmatan Bernilai RM90.21 Bilion

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2,132 projek pelaburan meliputi sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diluluskan di Selangor bagi 2023 hingga Jun 2024 dengan nilai pelaburan berjumlah RM90.21 bilion, kata Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.  

Beliau berkata untuk 2023, sebanyak 1,311 projek pelaburan telah diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM55.24 bilion, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2024 melibatkan sebanyak 821 projek dengan nilai pelaburan RM34.97 bilion.

Katanya sebanyak 63,912 peluang pekerjaan turut diwujudkan bagi tempoh sama di Selangor hasil perkembangan positif sektor ekonomi berkenaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 20,241 potensi peluang pekerjaan adalah hasil kelulusan bagi projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan 43,671 daripada sektor perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Izuan Ahmad Kassim (PH-Kota Damansara) dan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) yang ingin tahu jumlah pelaburan di Selangor bagi 2023 hingga 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ng berkata kerajaan negeri menyasarkan pelaburan berjumlah RM50 bilion dalam sektor pembuatan dan perhidmatan pada tahun ini dengan pecahan masing-masing pada RM15 bilion dan RM35 bilion. 

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri melalui Invest Selangor telah melaksanakan pelbagai langkah antaranya menganjurkan program promosi penggalak pelaburan, menggalakkan pembangunan kawasan industri baharu dan mengadakan mesyuarat penyelarasan projek secara berkala. 

-- BERNAMA