BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

BNM Gesa Penanggung Insurans, Pengendali Takaful Semak Strategi Penentuan Semula Harga

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menggesa penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) supaya menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar. 

Bank pusat menjelaskan hal itu termasuk menguruskan secara berterusan kenaikan premium/sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi/peserta takaful.

“Di samping itu, ITO dikehendaki menyediakan pilihan penyelesaian yang sesuai untuk pemegang polisi/peserta yang sangat terkesan disebabkan oleh peningkatan premium/sumbangan bagi terus mempunyai perlindungan insurans/takaful.

“ITO juga perlu memastikan pilihan penyelesaian yang disediakan adalah bermakna dan menyediakan langkah-langkah tambahan untuk menyokong pemegang polisi/peserta takaful yang terjejas,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

BNM memaklumkan bahawa maklumat lanjut tentang pilihan tersedia akan diumumkan oleh industri insurans/takaful dalam masa terdekat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos penjagaan kesihatan telah meningkat dengan ketara berikutan inflasi kos perubatan dan peningkatan penggunaan perkhidmatan dan prosedur perubatan.

“Oleh itu, pembaharuan yang komprehensif dan terlaras untuk membendung inflasi kos perubatan adalah sangat penting bagi memastikan akses berterusan kepada produk perlindungan MHIT yang bersesuaian,” tambahnya.

Pihak berkepentingan yang relevan (termasuk ITO, Kementerian Kesihatan, Persatuan Hospital Swasta Malaysia, pengamal perubatan, kumpulan pengguna, pemegang polisi/peserta takaful) serta BNM perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat ini, jelas bank pusat.

“BNM kekal komited bagi memastikan orang ramai terus mempunyai akses kepada produk insurans dan takaful yang bersesuaian,” tambahnya.

Kenyataan itu merupakan maklum balas BNM terhadap isu yang dibangkitkan banyak pihak baru-baru mengenai penetapan semula harga produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan premium insurans perubatan dijangka meningkat sebanyak 40 hingga 70 peratus tahun hadapan, menyebabkan sebilangan pemegang polisi tidak mempunyai pilihan selain mempertimbangkan untuk menamatkan polisi mereka disebabkan peningkatan kos premium bulanan.

-- BERNAMA