BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Takaful Malaysia Komited Dalam Agenda Digital, Inisiatif Kemampanan Perniagaan

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd komited terhadap agenda digital dengan menumpukan pelaburan dalam teknologi dan inovasi digital untuk memastikan kemampanan perniagaannya pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal berkata syarikat takaful pertama di Malaysia itu, yang meraikan ulang tahun ke-40, akan terus kekal berdaya saing dalam industri insurans dan takaful, seiring dengan kehendak pasaran semasa.

“Sepanjang tempoh empat dekad ini, Takaful Malaysia telah menempa pelbagai kejayaan dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Walaupun menggalas tugas yang mencabar dalam pasaran masa kini yang sengit, saya berbangga kerana warga pengurusan dan tenaga kerja terus menggembleng tenaga dan bersatu hati untuk memastikan jenama Takaful Malaysia kekal relevan dan menjadi pilihan bagi penyelesaian perlindungan patuh syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-40 Takaful Malaysia di sini, malam ini.

Nor Azman berkata Takaful Malaysia akan melancarkan program kepimpinan belia yang dinamakan Program “Takaful 100 Youth Leadership”.

Beliau berkata program yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan aspirasi syarikat untuk memastikan kelangsungan masa depan negara.

“Melalui program ini, kami berhasrat untuk melahirkan generasi pemimpin muda yang berwawasan, mempunyai daya tahan dan nilai kepimpinan yang tinggi.

“Inisiatif ini mencerminkan peranan penting kami dalam pembangunan negara serta komitmen kami untuk menyumbang kepada kemajuan masyarakat yang mampan dan inklusif,” katanya.

Beliau berkata Takaful Malaysia telah mencatat hasil jualan melebihi RM3 bilion sejak tiga tahun lepas serta keuntungan sebelum zakat dan cukai melebihi RM500 juta.

Takaful Malaysia ialah pengendali takaful pertama yang diperbadankan di Malaysia pada 29 Nov, 1984.

-- BERNAMA