BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Nilai Tambah KDNK Sektor Pembuatan Naik 5.5 Peratus Kepada RM97.4 Bln Pada Suku Ketiga 2024 - MITI

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Nilai tambah Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) bagi sektor pembuatan meningkat kepada RM97.4 billion pada suku ketiga 2024 berbanding tempoh sama pada 2023, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus atau RM5.1 billion daripada RM92.3 billion yang dicatatkan tahun lepas.

"Sejak Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilancarkan lebih setahun lepas, Malaysia telah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam sektor pembuatan.

"Jumlah pekerjaan juga meningkat sebanyak 1.4 peratus atau 40,000 pada suku ketiga 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas," katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara, hari ini.

Gaji median turut meningkat sebanyak 5.6 peratus atau RM145 kepada RM2,745 pada tempoh separuh pertama 2024 berbanding tempoh sama pada tahun 2023 iaitu RM2,600, kata kementerian.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr A. Lingeshwaran berkenaan pencapaian Pelan Induk NIMP 2030 setakat ini.

Selain itu, MITI memaklumkan beberapa projek serta inisiatif utama di bawah NIMP 2030 telah dimulakan dan menunjukkan kemajuan.

Antaranya, pelancaran Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada Mei 2024, ia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM34 bilion melibatkan 22 projek berkaitan semikonduktor.

Turut dimulakan dan menunjukkan kemajuan adalah produk berasaskan kimia dan petrokimia yang mencatatkan pelaburan sebanyak RM3.1 bilion antara Januari hingga Ogos 2024 berbanding RM1.7 bilion dalam tempoh sama pada 2023, menjadikannya subsektor pelaburan keempat terbesar negara. 

-- BERNAMA