BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Harga Minyak Sawit Diunjur Antara RM4,000 Hingga RM5,000 Satu Tan Tahun Depan - CPOPC

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 6 Dis (Bernama) -- Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengunjurkan harga minyak sawit berada antara RM4,000 hingga RM5,000 satu tan tahun depan, didorong oleh pengeluaran yang mendatar di pasaran utama, khususnya Indonesia dan Malaysia .

Timbalan Setiausaha Agung Datuk Nageeb Wahab berkata permintaan global terhadap minyak sawit juga meningkat.

“Apabila permintaan global untuk minyak sawit meningkat dan pada masa sama pengeluaran mendatar, ini berkemungkinan mengakibatkan kekurangan bekalan, sekali gus memacu harga menjadi lebih tinggi,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata paras harga semasa sekitar RM5,000 satu tan mungkin bersifat sementara, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh bencana banjir yang berterusan di Malaysia, yang telah menyokong sentimen pasaran yang kukuh.

Pengeluaran mendatar, ditambah dengan ladang yang semakin tua, cuaca tidak menentu dan peluasan terhad bagi kawasan ladang baharu, dijangka menjejaskan bekalan global, seterusnya melonjakkan harga, katanya.

Mengenai keanggotaan CPOPC, Nageeb berkata majlis itu dianggotai Malaysia, Indonesia, Honduras dan Papua New Guinea sebagai ahli penuh pada masa ini manakala Colombia, Ghana, Nigeria dan Republik Demokratik Congo pula anggota pemerhati.

Usaha sedang dilaksanakan untuk membawa Thailand, pengeluar minyak sawit ketiga terbesar di dunia, ke dalam majlis itu, katanya.

Beliau berkata jika berjaya, kalangan negara anggota akan mengawal 93 hingga 95 peratus pengeluaran minyak sawit global, sekali gus memperkukuh pengaruh mereka dalam pasaran.

“Kami juga akan mempunyai suara yang lebih lantang,” katanya.

CPOPC, ditubuhkan pada 21 Nov, 2015, ialah organisasi antara kerajaan yang khusus untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan negara pengeluar minyak sawit.

-- BERNAMA