BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

HDC, HEXIO Jalin Kerjasama Strategik Revolusikan Industri Halal Menerusi AI

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjalinkan perkongsian strategik dengan HEXIO untuk merevolusikan industri halal menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju dengan mempertingkatkan keupayaan HDC Halal Navigator (HaNa).

HDC, agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata kerjasama itu akan mempertingkatkan keupayaan HaNa dengan memperkenalkan model penjanaan dipertingkatkan semula (RAG) berkuasa AI generasi pertama yang direka khusus bagi menyokong ekosistem halal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari berkata HaNa bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan operasi tetapi berfungsi sebagai instrumen penting kepada sektor perniagaan untuk mendapatkan maklumat mengenai pensijilan dan pematuhan halal.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan HEXIO bagi memperkenalkan teknologi AI termaju dalam industri halal. 

“Kerjasama ini merupakan kemajuan utama dalam misi kami untuk menyokong dan membangunkan industri halal di Malaysia.

“HaNa akan mengubah bagaimana perniagaan berhubung dan beroperasi dalam sektor ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut HDC, HaNa merupakan pembantu dikuasakan AI yang inovatif direka khusus untuk memenuhi keperluan spesifik industri halal, membolehkan ia menjana dokumen yang tepat berdasarkan peraturan serta data berkaitan yang disediakan.

Selain itu, ia juga akan memainkan peranan penting bagi membantu pembeli berpotensi mengenal pasti produk halal menerusi Platform Bersepadu Halal, menyelaras hubungan antara pembeli dan pengeluar produk halal, termasuk pembekal bahan.

“HaNa menggunakan rangka kerja AL generatif terkini yang disepadukan dengan kerangka aplikasi gred perusahaan bagi memberikan jawapan yang tepat, pantas dan boleh dipercayai untuk sebarang pertanyaan berkaitan halal.

“Kerjasama itu merupakan bahagian daripada initiatif utama bagi mengintegrasikan platform digital yang menyokong perniagaan berkaitan halal, selaras dengan Teras Strategik 4, Pelan Induk Industri Halal Malaysia (HIMP) 2030 yang menumpukan kepada peningkatan kualiti dan pembangunan infrastruktur bersepadu,” kata HDC.

-- BERNAMA