BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

PMI Pembuatan Malaysia Pada Disember Susut Kepada 48.6 – S&P Global

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan mengikut musim susut kepada 48.6 pada Disember 2024 daripada 49.2 pada November, dengan peningkatan kos pada kadar paling perlahan dalam tempoh empat tahun setengah, sejak Jun 2020.

S&P Global berkata penurunan pada Disember adalah yang paling ketara sejak Mac 2023, mencerminkan trend menurun dalam sektor pembuatan Malaysia.

"Secara positif, inflasi harga input menurun dengan ketara pada bulan itu dan merupakan yang terendah dalam urutan 55 bulan semasa kenaikan harga input," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas prestasi itu, ahli ekonomi Market Intelligence S&P Global Usamah Bhatti berkata pusingan akhir data PMI 2024 menunjukkan bahawa permintaan dalam sektor pembuatan Malaysia kekal lemah pada Disember, memandangkan pengeluaran dan aliran masuk pesanan baharu berada pada kadar sederhana.

"Data itu menunjukkan ia masih konsisten dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini, walaupun pada kadar yang lebih perlahan. Ini turut menunjukkan keadaan berkemungkinan kekal tidak berubah dalam jangka pendek," katanya.

Menurut Usamah, data PMI Disember itu memperlihatkan firma memilih untuk menyelesaikan pesanan sedia ada tanpa pertumbuhan pesanan baharu, di samping mengurangkan guna tenaga, pembelian dan pegangan saham.

Bagaimanapun, beliau berkata tekanan inflasi berkurangan secara mendadak pada Disember, dengan dengan purata beban kos meningkat pada kadar paling perlahan sejak Jun 2020.

"Tekanan kos yang lebih rendah juga memberi keyakinan mengenai prospek untuk 2025, apabila firma menyatakan keyakinan yang kukuh disokong oleh peningkatan menyeluruh dalam permintaan, di dalam dan di pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA