BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Ringgit Bergerak Pada Hala Tuju Betul, Cerminkan Asas Ekonomi - BNM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Ringgit bergerak dalam hala tuju yang betul, mencerminkan asas ekonomi yang kukuh dan prospek pertumbuhan negara untuk beberapa tahun akan datang, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata beliau percaya ringgit akan terus disokong oleh penurunan berterusan perbezaan kadar faedah dengan Amerika Syarikat dan negara lain serta keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

"Kami perhatikan, terutamanya ketika jerayawara, sentimen pelaburan meningkat dan ini membantu ringgit untuk terus bergerak menuju hala tuju yang betul. Selain itu, reformasi struktur yang kerajaan lakukan (akan terus) menyokong ringgit.

 "Bagaimanapun, kita boleh menjangkakan sedikit turun naik dalam tempoh terdekat kerana pasaran sedang menyesuaikan peralihan yang berlaku dalam dasar AS," katanya ketika sesi panel pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 hari ini.

Beliau juga menekankan bahawa ringgit kembali stabil bermula Julai tahun lepas apabila Rizab Persekutuan AS mula mengurangkan kadar faedahnya, mengecilkan perbezaan kadar antara Amerika Syarikat dan Malaysia.

Selain itu, kerajaan juga melaksanakan inisiatif terselaras dengan BNM bagi memastikan aliran dua hala dalam pasaran.

"Dari segi inisiatif terselaras, sejak ia bermula pada Februari tahun lepas, kami telah melihat aliran dua hala yang sangat sihat.  

"Contohnya, jika anda melihat (pada) purata volum pertukaran asing harian pasaran dalam pesisir, ia meningkat kepada kira-kira US$18 bilion (US$1=RM4.50) berbanding kira-kira US$15 bilion pada 2023. Jadi terdapat beberapa peningkatan yang kita lihat daripada inisiatif terselaras itu," katanya.

-- BERNAMA