BERITA TERKINI   Keuntungan bersih Maybank meningkat kepada RM2.63 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM2.53 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun kewangan 2024 | Untung bersih Public Bank Bhd bagi suku kedua susut kepada RM1.76 bilion, dan mencatatkan perolehan berjumlah RM7.35 bilion  | Integrasi meningkat di rantau ini menekankan kepentingan kerjasama lebih erat dalam ASEAN - Amir Hamzah | Perkhidmatan AeroTrain KLIA catat jumlah penumpang hampir dua juta sejak mula beroperasi 1 Julai lepas - Loke | Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) ke Johor Bahru dijangka beroperasi pada Disember ini - Loke | 

IPP Malaysia Dijangka Tumbuh 3.0-4.0 Peratus Pada 2025 - MIDF Amanah

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangkakan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia mengekalkan pertumbuhan positif pada 2025, dianggarkan antara 3.0–4.0 peratus berikutan jangkaan pengembangan 3.4 peratus pada 2024.

Bank pelaburan itu menekankan potensi kenaikan kepada anggaran pertumbuhan IPI 2024 mereka dengan memetik output pembuatan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada November 2024.

Sepanjang 11 bulan pertama 2024, pertumbuhan IPI secara purata pada 3.7 peratus tahun ke tahun.

“Kami menjangkakan aktiviti pengeluaran akan terus berkembang kerana kami menganggap pertumbuhan ekonomi domestik akan kekal positif dan permintaan luar akan terus meningkat, walaupun terdapat sedikit kebimbangan dan ketidaktentuan,” kata MIDF Amanah dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu memberi amaran tentang potensi halangan bagi firma pembuatan jika permintaan melemah.

Ia berkata permintaan luar dan perdagangan global mungkin menghadapi cabaran akibat ketegangan geopolitik dan perdagangan yang meningkat, gangguan dalam rantaian bekalan global dan peningkatan dalam kos pengeluaran.

IPP Malaysia meningkat 3.6 peratus tahun ke tahun pada November 2024, didorong oleh pertumbuhan yang mampan dalam sektor pembuatan.

Menurut Jabatan Perangkaan, November mencatatkan pertumbuhan IPP selama 11 bulan berturut-turut. Output pembuatan berkembang sebanyak 4.6 peratus, meningkat daripada 3.3 peratus pada Oktober, manakala output elektrik meningkat 3.9 peratus.

-- BERNAMA