BERITA TERKINI   Petronas mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di seluruh negara adalah dijamin tersedia sehingga akhir Jun 2026 | 5E Resources mula berdagangĀ di Pasaran ACE, dibuka pada 28 sen, iaitu premium dua sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 36.22 juta saham diniagakan | 

Rizab Antarabangsa BNM Berjumlah US$115.5 Bilion Pada 15 Jan, 2025

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Rizab Antarabangsa Malaysia berjumlah US$115.5 bilion setakat 15 Jan, 2025, berbanding US$116.2 bilion pada 31 Dis, 2024, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 4.9 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab itu merangkumi rizab pertukaran asing (US$103.0 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Dunia (US$1.2 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (US$5.7 bilion), emas (US$3.3 bilion) dan aset rizab lain (US$2.3 bilion), kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah aset sebanyak RM618.95 bilion, merangkumi emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain, termasuk SDR (RM516.85 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.85 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM26.43 bilion), tanah dan bangunan (RM4.60 bilion) serta aset-aset lain (RM58.22 bilion).

Bank pusat itu berkata jumlah modal dan liabiliti sebanyak RM618.95 bilion, merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM187.75 bilion), mata wang dalam edaran (RM174.24 bilion), deposit institusi kewangan (RM118.54 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM14.32 bilion), deposit lain-lain (RM80.26 bilion), kertas Bank Negara (RM12.46 bilion), peruntukan SDR (RM28.18 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.10 bilion).

-- BERNAMA