BERITA TERKINI   Petronas akan menamatkan aktiviti aset matang, termasuk saluran paip gas Sabah-Sarawak | Malaysia dan Jepun berhasrat tubuhkan dana bagi pembangunan semula Gaza - PM Anwar | Pembangunan semula Gaza : Malaysia akan bina sebuah sekolah, hospital dan masjid menerusi program Asia Timur - PM Anwar | Tanah runtuh di Miri : Dua lagi mayat mangsa ditemukan, seorang masih hilang - Bomba | Tanah runtuh di Miri: Seorang lagi mangsa ditemukan tertimbus dalam runtuhan, keadaan mangsa belum diketahui - Bomba | 

MATRADE Sasar 20,000 Pengunjung, 750 Pempamer Sertai Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung dan 750 pempamer pelbagai negara menyertai Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025.

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata acara itu bertujuan mengembangkan industri tersebut dengan membina rangkaian dalam sektor peranti perubatan dan farmaseutikal.

“Seperti yang kita tahu, sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan disenaraikan sebagai sektor terpenting dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya ketika berucap pada acara bertajuk Prestasi Perdagangan 2024 Malaysia: Mengemudi Cabaran Perdagangan 2025” di sini, hari ini.

Malaysia akan menganjurkan Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2025 di Kuala Lumpur pada 16-18 Julai depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

NIMP 2030 telah mengenal pasti peranti perubatan dan farmaseutikal sebagai salah satu sektor terpenting.

Sementara itu, menerusi ucapannya Reezal Merican turut mendedahkan beberapa initiatif dan program yang bakal dilaksanakan oleh MATRADE pada 2025.

Antaranya, menyertai sekurang-kurangnya 24 pameran perdagangan termasuk Gulfood, Paris Air Show dan Semicon SEA serta memperkenalkan platform interaktif “MADANI Digital Trade” untuk rakan kongsi, pengeksport, pengimport dan pelanggannya.

Katanya, berdasarkan kejayaan MIHAS@Dubai pada 2024, MATRADE akan memperluaskan capaian antarabangsanya dengan menyertai pameran halal di Shanghai tahun ini.

-- BERNAMA