BERITA TERKINI   Liga Super: JDT 4-0 PDRM | 

Khazanah Garis Tiga Tonggak Perkukuh Operasi Masa Depan MAHB

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd menggariskan tiga tonggak untuk Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkatkan operasi pengendali lapangan terbang itu pada masa hadapan, kata Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Tiga objektif tersebut memfokuskan kepada pengalaman pelanggan, teknologi dan ketersambungan.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan pengalaman pelanggan MAHB dicadangkan supaya meneliti aliran penumpang iaitu dengan mengurangkan masa daftar masuk dan menunggu.

Langkah ini bagi memastikan penumpang dapat menikmati pengalaman menyeluruh di lapangan terbang.

"Berkaitan ketersambungan, ia mungkin boleh dilihat dari perspektif sebuah syarikat penerbangan.

"Mereka mungkin akan mempunyai strategi rangkaian, untuk menyambungkan pelbagai pihak dan memendekkan tempoh transit,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media tahunan Khazanah 2025 di sini hari ini.

Di bawah tonggak teknologi, Amirul Feisal memuji usaha imigresen yang memperkenalkan MyBorderPass, tetapi menegaskan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan kesedaran dan penggunaan yang meluas.

“Saya pernah menggunakannya tetapi saya fikir penumpang masih perlu berbaris panjang. Jadi, sistem ini perlu diteliti semula,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kepimpinan masa depan MAHB, beliau berkata ia masih terlalu awal untuk menentukan barisan pengurusan baru syarikat itu memandangkan proses pengambilalihan yang sedang berlangsung.

“Saya rasa, sejujurnya, ia terlalu awal untuk melihat soalan itu. Saya rasa ada ramai calon yang bagus di lapangan terbang itu sendiri," katanya.

Bulan lepas, konsortium yang dipimpin oleh Khazanah, Gateway Development Alliance Sdn Bhd, telah mendapat penerimaan sah 94.47 peratus saham terbitan MAHB menjadikan tawaran pengambilalihan telah menjadi tidak bersyarat selepas lapan bulan tawaran pengambilalihan itu pertama kali dicadangkan.

Pada Ogos lepas, MAHB melantik bekas Pengarah Eksekutif Pelaburan Khazanah, Datuk Mohd Izani Ghani sebagai Pengarah Urusan syarikat itu.

-- BERNAMA