BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus usul Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 | Sebahagian syarikat dorman tidak dapat dibubar kerana obligasi kewangan seperti hutang perlu dilunaskan - Liew Chin Tong | Rugi bersih Supermax Corporation naik kepada RM58.44 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 | Ringgit ditutup rendah, turun kepada 3.8915/8980 berbanding dolar AS daripada 3.8885/8925 ketika ditutup semalam | Untung bersih Petronas Gas bagi tahun kewangan 2025 turun kepada RM1.72 bilion daripada RM1.83 bilion pada tahun kewangan 2024 | 

Kerajaan Sarawak Sedia Bincang Skop Kerjasama Petros-petronas - Abang Johari

KUCHING, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menyifatkan langkah itu sebagai kolaborasi baik antara kedua-dua pihak, katanya beliau belum menerima sebarang makluman berkaitan tarikh perbincangan tersebut. 

“Kalau ada yang memanggil untuk berbincang, saya akan datanglah…yang penting ada (usaha untuk berbincang). Ia adalah kerjasama yang baik antara kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sebuah klinik pergigian di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata perbincangan tersebut menyentuh aspek kerjasama terutamanya melibatkan projek baharu yang akan diterokai oleh kedua-dua syarikat terbabit dalam apa jua bidang.

Isnin lepas, Anwar pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkata Kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

Perdana Menteri menjelaskan hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

-- BERNAMA