BERITA TERKINI   PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | Muhyiddin umum letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan 2026 | 

MITI Komited Bantu Industri Keluli Ke Arah Kemampanan, Rangka Pelan Komprehensif

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan penstrukturan semula industri keluli Malaysia bagi mengukuhkan kemampanan, selain mengiktirafnya sebagai sektor strategik negara.

Justeru, Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) dan Persatuan Keluli Malaysia (MSA) mengenai cabaran serta prospek industri itu.

“Menyedari cabaran ketara yang dihadapi oleh sektor ini sepanjang dekad yang lalu, MITI menggesa kedua-dua persatuan tersebut bekerjasama rapat dengan kementerian untuk membangunkan pelan penstrukturan semula yang komprehensif dan mendapat persetujuan semua pihak dalam industri,” kata MITI dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, isu utama yang dibangkitkan ketika perbincangan tersebut adalah tarif ke atas aluminium dan keluli yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang dijangka berkuat kuasa pada 12 Mac.

“Tarif itu boleh menyebabkan kemasukan keluli yang pada asalnya ditujukan kepada Amerika Syarikat tetapi kemudiannya dihantar ke pasaran Asia Tenggara, sekali gus berpotensi menjejaskan industri keluli Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA