BERITA TERKINI   Piala Malaysia: KL City FC 2-1 Terengganu FC (agregat: 3-2) | Pelaksana dan kontraktor projek fasiliti kesihatan perlu jalankan tanggungjawab penuh integriti, pastikan tiada ketirisan atau kelewatan - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan terus bantu Johor tingkat kedudukan ekonomi negeri - PM Anwar | PM Anwar arah projek kecil di seluruh daerah dilaksana segera sepanjang tahun ini | PM Anwar lulus segera peruntukan RM2 juta projek surau dan kemudahan di Pontian | 

Institusi Tempatan Catat Belian Bersih RM817.4 Juta Pada Minggu Ke-19 - MIDF

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Institusi tempatan kekal menjadi tonggak sokongan di Bursa Malaysia, mencatatkan minggu belian bersih yang ke-19 berturut-turut dengan aliran masuk yang tinggi sebanyak RM817.4 juta dalam ekuiti domestik, meningkat daripada RM316.3 juta pada minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 28 Feb 2025, pelabur runcit tempatan meneruskan belian bersih mereka pada minggu ketiga, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM447.9 juta, naik daripada RM245.7 juta.  

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan yang meluas,” katanya.  

Pelabur asing mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 80.3 peratus dari segi ADTV manakala institusi tempatan menyaksikan kenaikan sebanyak 5.8 peratus. Pelabur runcit tempatan pula mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 1.6 peratus.  

Menurut MIDF Amanah, pelabur asing meneruskan jualan mereka di Bursa Malaysia untuk minggu ke-19 berturut-turut, dengan aliran keluar bersih yang lebih besar sebanyak RM1.27 bilion berbanding RM562.0 juta pada minggu sebelumnya.  

“Tekanan jualan oleh pelabur asing berterusan sepanjang minggu, dengan Jumaat mencatatkan aliran keluar tertinggi sebanyak RM646.2 juta,” katanya.  

Satu-satunya sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM24.1 juta), telekomunikasi dan media (RM14.7 juta) dan amanah pelaburan hartanah (RM6.7 juta).  

Sementara itu, tiga sektor utama dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM362.1 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM314.9 juta) dan utiliti (RM255.1 juta).  

Dalam ekuiti Asia, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dalam kesemua lapan pasaran yang dipantau, dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$12.23 bilion, naik daripada US$12.94 bilion pada bulan sebelumnya. (US$1 = RM4.46).

Ini merupakan aliran keluar asing bersih untuk bulan kelima berturut-turut.

Lapan pasaran itu ialah Malaysia, India, Taiwan, Korea Selatan, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Filipina.  

-- BERNAMA