BERITA TERKINI   Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | 

Grab Malaysia Labur Lebih RM10 Juta, Pertingkat Program GrabBenefits Rakan Grab

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Grab Malaysia melaburkan lebih RM10 juta bagi melaksanakan pembaharuan penting ke atas program GrabBenefits untuk mengukuhkan komitmen terhadap kebajikan rakan pemandu dan rakan penghantarnya.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, syarikat itu berkata program yang dipertingkatkan itu berkembang daripada tiga kepada lima tonggak, sekali gus mewujudkan sistem sokongan yang lebih holistik dan bersepadu.

Pengarah Urusan Adelene Foo berkata pihaknya mengesahkan semula komitmen terhadap kebajikan rakan pemandu dan rakan penghantar melalui pembaharuan program GrabBenefits tersebut.

“Perubahan ini bertujuan untuk menggabungkan semua inisiatif di bawah satu pengurusan. Oleh itu, kami akan melabur lebih daripada RM10 juta tahun ini untuk program tersebut.

“GrabBenefits adalah program yang bertujuan memastikan kebajikan rakan-pemandu dan rakan-penghantar kami ketika mereka bekerja untuk menjana pendapatan di Grab,” katanya.

Grab Malaysia berkata antara perubahan utama bagi program GrabBenefits merangkumi insurans, perlindungan takaful dan sosial, “Daily Deals”, akademi, penyelesaian kewangan gig serta komuniti.

Selain itu, antara inisiatif utama bagi program itu pada 2025 adalah kesinambungan fasilitasi dan penajaan separa Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Gig Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Inisiatif lain juga termasuk peluang peningkatan kemahiran melalui kerjasama dengan badan kerajaan dan institusi pendidikan, pengubahsuaian ‘Grab Driver Centres’ untuk menjadi hab latihan dan komuniti serta sokongan khusus untuk Rakan Grab wanita dan orang kurang upaya,” katanya.

Syarikat itu berkata faedah yang dipertingkatkan ini dirangka berdasarkan maklum balas yang dikumpulkan daripada rakan pemandu dan rakan penghantar Grab.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata komitmen berterusan itu menetapkan contoh yang kukuh bagaimana platform Grab boleh memainkan peranan dalam memajukan keterangkuman.

“Ketika kita terus memacu kemajuan dalam ekonomi digital, kerjasama bermakna antara sektor awam dan swasta memainkan peranan yang amat penting.

“Melalui usaha kolektif, kita boleh mendorong perubahan yang berkekalan dan juga memperkasakan wanita dalam ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA