BERITA TERKINI   MCMC diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk bangunkan 10 instrumen subsidiari, pastikan pelaksanaan berkesan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 - Fahmi | Peruntukan tambahan RM100 juta kepada rakyat Palestin di Gaza beri tumpuan kepada proses pembangunan semula - Fahmi | Sebanyak 37 kereta, tujuh motosikal musnah dalam kebakaran libat sebuah bengkel kenderaan di Seksyen 24, Shah Alam malam tadi - Bomba | 

Petronas, Petros Akan Perinci Butiran Berkaitan Peranan Agregator Gas

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, serta Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung butiran peranan masa depan Petros sebagai agregator gas negeri.

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata usaha ini bertujuan untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Pertimbangan yang paling utama akan diberikan untuk memastikan kepastian dalam iklim pelaburan,” katanya ketika mengulas pertanyaan Bernama berhubung sebuah laporan berita yang menyatakan sebaliknya berhubung kemajuan kerjasama antara Petronas dan Petros.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan Persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petros dan Petronas.

Beliau berkata perbincangan itu bertujuan untuk meneroka kerjasama yang akan dijalankan oleh kedua-dua syarikat melibatkan mana-mana projek baharu dalam apa jua bidang.

Pada Februari, Anwar berkata Petronas akan memenuhi semua obligasi berkontrak domestik dan antarabangsa manakala Petros akan bertindak sebagai agregator gas Sarawak berdasarkan peraturan negeri mengenai pengagihan gas yang berkuatkuasa pada 1 Mac.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan peranan Petros sebagai agregator gas negeri, namun, ia tidak termasuk gas asli cecair.

-- BERNAMA