BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

Terengganu Teroka Kerjasama Dengan Negara Luar Bangunkan Sektor NR-REE

KUALA TERENGGANU, 17 April (Bernama) -- Kerajaan Terengganu giat meneroka kerjasama strategik dengan negara luar seperti Australia, Jepun dan Korea bagi mendapatkan teknologi alternatif yang lebih terbuka dan lestari, sejajar dengan usaha negeri itu memanfaatkan potensi sumber asli secara berterusan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata fokus utama kerjasama itu adalah untuk menarik pemain industri dan pakar tempatan khususnya dalam sektor Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE).

“Matlamat kita jelas iaitu untuk memastikan rantaian nilai industri ini dibina dan kekal di Terengganu melalui pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan industri sokongan, pelaburan berimpak tinggi dan pemindahan teknologi yang mampu memacu ekonomi negeri,” katanya dalam sesi penggulungan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata satu kerangka kerja dan pelan hala tuju NREE Terengganu juga telah dirangka dan dirujuk khusus untuk pembangunan dan tadbir urus mineral berharga itu agar manfaat terbanyak kembali kepada rakyat negeri itu.

Katanya setakat ini dua kawasan telah diluluskan bagi kerja persampelan dan eksplorasi NR-REE dengan kerajaan negeri turut berusaha menarik minat pelabur global untuk membangunkan segmen pertengahan dan hiliran industri itu di Terengganu.

“Langkah ini dijangka memberi kesan pengganda ekonomi yang besar sekali gus menjadikan sektor NR-REE sebagai salah satu sumber pendapatan strategik baharu negeri,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan hasil negeri, Ahmad Samsuri berkata sebuah syarikat di bawah Terengganu Incorporated (TI) iaitu EPIC Berhad dan anak-anak syarikatnya telah dan sedang melebarkan aktiviti dengan berkecimpung dalam segmen minyak dan gas seperti aktiviti hiliran, pertengahan dan servis huluan.

Beliau berkata aktiviti yang disertai seperti penyelenggaraan, logistik dan penggudangan dengan nilai kontrak dalam tangan yang telah diperoleh adalah sebanyak RM1.8 bilion sehingga 31 Dis 2024. 

Katanya Kumpulan TI juga dalam proses mengembangkan aktiviti dalam segmen huluan, penerokaan dan pengeluaran bagi melengkapkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dalam keseluruhan rantaian nilai industri minyak dan gas.

“TI telah mengenal pasti syarikat yang berpengkalan di Oman untuk menjadi rakan strategik dalam aktiviti pengeluaran minyak dan gas. Dua lapangan minyak turut dikenal pasti TI untuk diambil alih operasinya dan sekarang ini perbincangan awal telah dimulakan dengan Petronas.

“Perolehan dari segmen penerokaan dan pengeluaran ini dijangka membolehkan matlamat jangka pertengahan dicapai untuk melahirkan entiti Terengganu Petroleum yang mampu bergerak lebih jauh dan akan menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan keseluruhan kluster minyak dan gas syarikat GLC Terengganu,” katanya.

Beliau berkata secara purata ekonomi Terengganu mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2013; RM31 bilion bagi tempoh 2014 hingga 2017 dan meningkat kepada RM35.9 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2013 walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

-- BERNAMA