BERITA TERKINI   ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | Hubungan dialog ASEAN dengan China antara perkongsian paling substantif, dinamik - Mohamad Hasan | ASEAN gesa semua pihak urus situasi di Laut China Selatan secara berhemah, hati-hati - Mohamad Hasan | Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov tiba di Malaysia untuk mesyuarat ASEAN peringkat tinggi | 

Grid Tenaga ASEAN Perkukuh Kerjasama Serantau - Fadillah

Daripada Salawaty Supardi

LONDON, 26 April (Bernama) -- Grid Tenaga ASEAN (APG) merupakan tonggak yang boleh memperkukuh jalinan kerjasama antara anggota perkumpulan itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata berdasarkan kepentingan kerjasama itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini akan menumpukan usaha bagi merealisasikan APG seterusnya meningkatkan keterjaminan, akses dan kemampuan tenaga di rantau ini.

Mengambil contoh letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas, Fadillah berkata insiden itu menyebabkan saluran gas terpaksa ditutup sehingga menjejaskan orang ramai dan industri. 

Bagaimanpun, katanya hasil hubungan baik dengan Thailand, negara jiran itu telah membekalkan gas kepada Malaysia seterusnya dapat menampung dan mengurangkan kesan kepada kira-kira 200 industri dan pengguna.

“Orang melihat kejadian itu di situ saja tetapi kesannya sampai ke utara. Gas dari selatan tidak sampai (di sana) disebabkan aliran paip gas terpaksa ditutup kerana kalau tidak, ia (letupan) akan merebak ke tempat lain.

“Kita berterima kasih kepada Thailand kerana menghulurkan bantuan,” katanya pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia London di sini pada Jumaat.

Seramai 80 orang menghadiri majlis tersebut, terdiri daripada pelajar Malaysia, wakil syarikat berkaitan kerajaan dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar, Ketua Pegawai Tenaga Baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB) Mohd Zarihi Mohd Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd Datuk Sharbini Suhaili serta delegasi dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Fadillah berkata bantuan yang diberikan oleh Thailand itu jelas membuktikan bahawa APG sangat diperlukan oleh negara anggota ASEAN terutama jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Misalnya Vietnam, Indonesia dan Laos mempunyai angin yang kuat dan boleh mendapat sumber tenaga daripada angin.

“Bagaimanapun, ada masa jika mereka kekurangan angin untuk menghasilkan tenaga, negara anggota lain akan membantu. Ini menunjukkan jika kita dapat bekerjasama secara serantau, ia dapat menjamin bekalan tenaga yang mencukupi dan pada kadar mampu dibiayai. Inilah (APG) yang kita rencanakan” katanya.

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini dari Turkiye pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis.

-- BERNAMA