BERITA TERKINI   KLFA perkukuh kerjasama dengan KBS dalam pembangunan jurulatih dan program belia - Fahmi | KLFA sedang kukuh kerjasama dengan KPM dalam memperkasa bola sepak di peringkat sekolah - Fahmi | PM Anwar umum dana RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur | Tiga ladang ternakan babi di Tasek Gelugor, Pulau Pinang disahkan positif penyakit demam babi Afrika - Pengarah JPV Negeri | 

Malaysia Ambil Pendekatan Bersistematik Tangani Impak Tarif AS - PM Anwar

SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan komited untuk melindungi ekonomi negara menerusi pendekatan pantas, cekap dan kreatif dalam usaha menangani ketidaktentuan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata salah satu langkah yang diambil di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi adalah dengan mengarahkan bangunan sektor awam mendapatkan sumber bahan daripada syarikat tempatan, sekali gus menjamin ketahanan industri domestik.

"Presiden AS (Donald) Trump berkata solar (tidak boleh) dieksport ke AS kerana terdapat syarikat China yang berpangkalan di sini, tetapi ada negara lain (untuk dijual), sebab itu arahan kita semua sekolah, universiti, hospital menggunakan panel solar buatan Malaysia, yang bermakna kita mungkin boleh mengurangkan sebahagian daripada potensi masalah yang mungkin kita hadapi," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Temu Anwar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), di sini, hari ini.

Anwar berkata kerajaan juga berusaha untuk melindungi industri semikonduktor negara kerana ia merupakan antara produk eksport bernilai tinggi berjumlah kira-kira RM40 bilion melalui perkongsian strategik dan penerokaan pasaran di peringkat global.

“Sejak saya mengambil alih (pentadbiran) hampir dua tahun, kita mengadakan banyak lawatan untuk membuka pasaran baharu selain India, China, Korea dan Jepun. Kita meningkatkan perdagangan dalam ASEAN dan hubungan dengan negara lain contohnya Mesir.

“Kita juga kini sedang berusaha mempercepat perjanjian (Perjanjian Perdagangan Bebas - FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU),” kata beliau.

Terdahulu hari ini, semasa Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat bagi membahaskan mengenai isu tarif AS, Anwar melahirkan keyakinan bahawa asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan membolehkan negara mengharungi ketidaktentuan global.

Beliau menegaskan pembaharuan struktur yang diperkenalkan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI akan mengukuhkan keupayaan negara untuk menghadapi cabaran ekonomi global dan sentiasa bersedia menghadapi keadaan tidak menentu pada masa depan.

-- BERNAMA