BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Ekonomi ASEAN Berkembang Pada 4.7 Peratus Pada 2025 - Tengku Zafrul

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif ASEAN dijangka meningkat kepada 4.7 peratus pada 2025 berbanding 4.2 peratus tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-25 hari ini turut membincangkan kadar inflasi di rantau ini yang dijangka berada pada tahap tiga peratus.

“Terdapat perbincangan dan pembentangan oleh Sekretariat ASEAN apabila kami berbincang mengenai tahun 2024 dan apa unjuran kami untuk tahun 2025 dari segi pertumbuhan KDNK. Turut dibincangkan ialah jangkaan kadar inflasi bagi rantau ini. 

“Oleh itu, hari ini, jangkaan ialah 4.7 peratus pada 2025 untuk pertumbuhan KDNK ASEAN dan inflasi pada sekitar tiga peratus,” katanya pada sidang media selepas tamat mesyuarat Majlis AEC ke-25 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, unjuran itu lebih tinggi daripada purata berbanding kadar pertumbuhan global dan ini didorong oleh eksport yang kukuh dan perbelanjaan modal awam di ekonomi yang lebih besar.

“Bagaimanapun, pertumbuhan 4.7 peratus itu tertakluk kepada … terdapat risiko penurunan terhadap unjuran tersebut disebabkan persekitaran luaran dan faktor lain yang perlu kita beri perhatian,” katanya.

Mengenai rundingan isu tarif, Tengku Zafrul berkata negara-negara anggota ASEAN bersetuju untuk mengekalkan kedudukan neutral ASEAN dan akan terus menyokong prinsip multilateralisme serta keperluan untuk menjalin kerjasama antara setiap negara dan Amerika Syarikat (AS).

“Setiap negara akan mempunyai pendirian masing-masing terhadap AS dan kami mengalu-alukan usaha kerjasama yang dijalankan secara dua hala oleh negara-negara anggota ASEAN,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, yang diadakan di bawah tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, juga merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau ini sejak mempengerusikannya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitannya dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, dengan krisis di Myanmar kekal menjadi kebimbangan utama negara-negara anggota ASEAN.

Selain mesyuarat peringkat ASEAN, sidang kemuncak itu juga akan menampilkan dua platform antara rantau yang penting, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, menunjukkan kerjasama yang meningkat antara Asia Tenggara dan rakan strategiknya di Teluk dan China.

-- BERNAMA