BERITA TERKINI   Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | Lembaga Siasatan telah peroleh perakam data penerbangan dan video F/A-18D Hornet - Panglima TUDM | Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | 

Kerajaan Pastikan Telco Sedia Khidmat Pantas, Murah Berpandukan MSAP - Fahmi

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) dapat menunaikan janji bagi menyediakan perkhidmatan yang pantas dan murah berpandukan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Mekanisme itu, kata beliau, membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan pengguna biasa sentiasa mendapat harga lebih baik untuk perkhidmatan.

“Kita mempunyai mekanisme seperti MSAP yang kita laksanakan dalam Telekom Malaysia (TM). Ini bagi memastikan harga-harga kekal berdaya saing.

“Kali terakhir MSAP ini disemak semula adalah pada tahun lepas dan ini merupakan tindakan yang kita  buat setiap dua tahun atau tiga tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian kerjasama antara U Mobile Sdn Bhd dan TM di sini, hari ini.

U Mobile Sdn Bhd melantik TM sebagai rakan utama “backhaul” atau penyediaan jaringan sambungan gentian untuk mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G ke seluruh negara.

Di bawah perjanjian kerjasama selama 10 tahun bernilai RM2.4 bilion, TM akan menyediakan perkhidmatan prasarana “backhaul” komprehensif termasuk akses fiber kepada Rangkaian Akses Radio 5G U Mobile, penyewaan pusat data dan Kemudahan TM Edge untuk Titik Penyambungan.

Selain itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah meminta U Mobile berbincang dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk memastikan beberapa perkara melibatkan perkongsian rangkaian dapat diusahakan bersama demi manfaat pengguna. 

"Saya percaya kerjasama (U Mobile dan TM) adalah langkah positif dan perkara baik yang akan disokong untuk memastikan bukan hanya untuk kemampanan sektor telekomunikasi, tetapi juga tahap kesiapsiagaan industri bagi memastikan ekosistem yang dinamik,” katanya.

-- BERNAMA