BERITA TERKINI   China akan tandatangan Perjanjian SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen lengkap - Mohamad Hasan | Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | 

Institusi Tempatan Terus Beli Dengan Aliran Masuk Bersih RM876.5 Juta Minggu Lepas - MIDF

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan rentetan belian selama dua minggu di Bursa Malaysia dengan aliran masuk bersih berjumlah RM876.5 juta minggu lepas, menjadikan belian bersih mereka setakat ini bagi 2025 berjumlah RM8.78 bilion.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd, dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 30 Mei 2025, menjelaskan peruncit tempatan turut meneruskan tempoh trend belian bersih mereka kepada dua minggu dengan merekodkan aliran masuk bersih RM142.6 juta.

“Jumlah dagangan harian purata mengalami peningkatan secara menyeluruh minggu lepas, dengan institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 0.03 peratus dan 1.0 peratus, manakala pelabur asing merekodkan peningkatan sebanyak 45.6 peratus,” tambahnya.

Bank pelaburan itu juga memaklumkan pelabur asing meneruskan aliran keluar bersih di Bursa Malaysia dengan penjualan berturut-turut selama dua minggu pada minggu lepas.

Penjualan bersih oleh pelabur asing minggu lepas berjumlah RM1.02 bilion, hampir 2.6 kali lebih tinggi daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya berjumlah RM392.3 juta.

MIDF Amanah menjelaskan pelabur asing ialah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara RM61.4 juta hingga RM456.7 juta, manakala aliran keluar terbesar adalah pada Jumaat sebanyak RM456.7 juta, diikuti Khamis sebanyak RM234.6 juta.

“Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah hartanah (RM47.9 juta), pembinaan (RM33.3 juta) dan tenaga (RM5.2 juta).

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM565.8 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM172.2 juta), dan penjagaan kesihatan (RM129.9 juta),” tambahnya.

-- BERNAMA