BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Permohonan Pendaftaran Baharu Skop Cukai Perkhidmatan & Kadar Cukai Jualan Dibuka Mulai 1 Ogos

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa permohonan pendaftaran baharu berkaitan peluasan skop cukai perkhidmatan serta semakan kadar cukai jualan yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, boleh dibuat mulai 1 Ogos 2025.

Bagi pihak berdaftar sedia ada, permohonan penambahan perkhidmatan baharu di bawah peluasan skop cukai perkhidmatan dan kod tarif di bawah semakan kadar cukai jualan boleh dikemukakan mulai 24 Jun 2025, menurut kenyataan kementerian itu di platform X hari ini.

Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar cukai jualan yang disasarkan serta peluasan skop cukai perkhidmatan, yang kedua-duanya akan berkuat kuasa pada 1 Julai.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas, manakala kadar lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan terpilih.

Dalam pada itu, skop cukai perkhidmatan akan diperluas untuk merangkumi enam perkhidmatan baharu iaitu penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Datuk Johan Mahmood Merican dilaporkan berkata bahawa hasil kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka meningkat sebanyak RM5 bilion pada 2025 dan RM10 bilion pada 2026 susulan pelaksanaan semula dan peluasan skop SST bermula bulan depan.

-- BERNAMA