Public Mutual Umum Agihan Lebih RM109 Juta Bagi Lima Dana
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd, Public Mutual telah mengisytiharkan pengagihan berjumlah lebih RM109 juta bagi lima dana pada 30 Jun, 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengurus unit amanah itu mengumumkan jumlah pengagihan kasar sebanyak 5.50 sen seunit setiap satu bagi Dana Pendapatan Tetap PB, Dana Bon Infrastruktur PB dan Dana Bon Islam PB, manakala 0.90 sen seunit bagi Dana Bon Institusi Awam serta 0.10 sen seunit bagi Dana Simpanan Islam Awam.
Katanya, Dana Pendapatan Tetap PB, Dana Bon Infrastruktur PB, Dana Bon Islam PB dan Dana Bon Institusi Awam mengikut dasar pengagihan tahunan, manakala Dana Simpanan Islam Awam mengumumkan pengagihan berdasarkan separuh tahunan.
Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia, dengan lebih 180 dana di bawah pengurusannya.
Syarikat itu juga merupakan penyedia skim persaraan swasta (PRS) yang diluluskan dan menguruskan sembilan dana PRS.
-- BERNAMA