BERITA TERKINI   Tarif Trump: Malaysia masih dalam rundingan dan akan bangkitkan isu itu ketika bertemu Setiausaha Negara AS - PM Anwar | Tarif Trump: Hubungan dengan AS harus dikekalkan, namun Malaysia perlu pertahan pendirian sebagai negara dagang - PM Anwar | Autonomi strategik ASEAN perlu terus dipertahankanĀ memandangkan prinsipnya semakin diterima meluas melangkaui rantau ini - Mohamad Hasan | ASEAN perlu tumpu usaha pastikan Asia Tenggara bersedia hadapi masa hadapanĀ - Mohamad Hasan | ASEAN telah mencapai kedudukan cemerlang dan mendapat penghormatan di pentas antarabangsa - PM Anwar | 

Johor Catat Pertumbuhan KDNK Tertinggi 2024, Corak Masa Depan Ekonomi Negara - Exco

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri yakin Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pemacu ekonomi baharu Malaysia apabila negeri ini mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi pada 2024 berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri Lee Ting Han berkata Johor mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 6.4 peratus, melepasi kadar pertumbuhan nasional 5.1 peratus.

“Saya menzahirkan rasa syukur dan bangga atas laporan rasmi yang mengesahkan Johor mencatatkan pertumbuhan KDNK tertinggi di Malaysia bagi 2024, mengatasi kadar pertumbuhan nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata KDNK Johor kini mencecah RM158.0 bilion, mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara bersama Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Prestasi cemerlang itu disumbang oleh pertumbuhan seimbang dalam pelbagai sektor, termasuk lonjakan sektor pembinaan sebanyak 42.7 peratus yang dipacu projek pusat data berskala besar dan infrastruktur digital seperti sistem penyejukan serta gentian optik berkapasiti tinggi, katanya.

Lee berkata kerajaan negeri juga giat bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan melaksanakan projek berimpak tinggi seperti pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), projek ART di Iskandar Malaysia, RTS Link serta cadangan perkhidmatan Komuter Laluan Selatan.

Johor turut menambah baik ekosistem pelaburan dan tenaga kerja melalui inisiatif seperti Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFCJ) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi memenuhi permintaan industri masa hadapan.

Beliau berkata dua dasar utama iaitu berkenaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City disasarkan memperkukuh ekosistem pelaburan dan perkhidmatan kewangan serantau.

“Kombinasi projek infrastruktur berskala besar, dasar pelaburan progresif dan kedudukan strategik di persimpangan ekonomi ASEAN, Johor bukan sekadar mencatatkan pertumbuhan malah juga  sedang mencorak masa depan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA