MYStartup Accelerator Salur RM5.5 Juta Kepada Syarikat Pemula Niaga Tempatan
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- MYStartup Accelerator, inisiatif yang diterajui oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) telah memudahkan pelaburan sebanyak hampir RM5.5 juta bagi kohort kelima, sekali gus menekankan peranannya dalam mengukuhkan ekosistem syarikat pemula Malaysia dan meningkatkan kedudukan negara sebagai hab inovasi serantau.
Dalam satu kenyataan hari ini, Cradle berkata program di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu dikendalikannya dengan kerjasama NEXEA, iaitu firma modal teroka dan pemecut pemula niaga.
“Selepas melengkapkan lima kohort, kami telah memperoleh pandangan bermakna mengenai keperluan syarikat pemula niaga Malaysia.
“Matlamat kami seterusnya ialah mengembangkan jangkauan kami ke seluruh negara dan memastikan syarikat pemula niaga di semua wilayah mempunyai akses yang sama kepada peluang pertumbuhan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Norman Matthieu Vanhaecke.
Menurut Cradle, Hari Demo Kohort 5 mempamerkan penyelesaian inovatif dalam bidang termasuk kecerdasan buatan (AI), akuakultur, infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan peruncitan pintar.
Daripada lapan peserta akhir, lima menerima hadiah wang tunai daripada Cradle, manakala empat memperoleh sejumlah RM800,000 dalam bentuk pelaburan daripada NEXEA.
Peserta akhir dipilih daripada 747 pemohon dalam persaingan yang kompetitif.
Cradle berkata antara syarikat pemula niaga yang menonjol ialah Paix Tech, yang mengautomasikan pembayaran utiliti perusahaan menggunakan AI; Ocean Rich Resources, yang membangunkan sistem penternakan tiram berskala dan Recharge Xolutions, yang menawarkan pengecasan EV bersepadu dan penyelesaian tenaga hijau.
“MYStartup Accelerator terus memainkan peranan penting dalam membina masa depan Malaysia yang dipacu teknologi dengan memperkasakan syarikat pemula niaga yang berani, inovatif dan mampan,” kata Cradle.
NEXEA dikenali dengan rangkaian mentornya, yang kebanyakannya merupakan usahawan berjaya dan eksekutif peringkat C serta telah membantu syarikat portfolionya mencapai pertumbuhan tahunan sehingga 16 kali ganda.
Sementara itu, agensi tumpuan utama bagi syarikat pemula niaga peringkat awal, Cradle telah menyokong lebih 1,100 syarikat pemula niaga dan mempunyai kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan geran kerajaan.
-- BERNAMA