BERITA TERKINI   Kenaikan tarif kepada 25 peratus adalah keputusan Presiden AS Donald Trump bukan menerusi proses rundingan - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keselamatan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan meningkatkan pelaburan di negara itu untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia mahu mencapai perjanjian seimbang yang memberi manfaat kepada negara dan bukan hanya sekadar untuk memuktamadkan perjanjian - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | 

Pelabur Asing Catat Aliran Masuk Bersih RM303 Juta Di Bursa Malaysia Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM303 juta di Bursa Malaysia -- kali pertama sejak pertengahan Mei 2025 -- sembilan kali lebih tinggi daripada aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak RM33.2 juta, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 4 Julai 2025, katanya pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, dengan aliran masuk antara RM23.3 juta hingga RM112.6 juta.

"Aliran masuk terbesar dicatatkan pada Khamis, diikuti Selasa berjumlah RM106.8 juta. Hanya pada Jumaat merekodkan aliran keluar bersih -RM6.0 juta," katanya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi adalah utiliti (RM419.3 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM182.8 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM98.2 juta).

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi adalah penjagaan kesihatan (-RM177.0 juta), syarikat telekomunikasi dan media (-RM153.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (-RM78.9 juta).

Institusi tempatan turut meneruskan aktiviti pembelian mereka, menyambung trend pembelian selama tujuh minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM61.0 juta, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya iaitu RM142.8 juta.

Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan jualan asing bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan mencatat aliran keluar bersih -RM363.9 juta, dua kali lebih tinggi daripada aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak -RM176.0 juta.

“Purata jumlah dagangan harian menyaksikan peningkatan meluas pada minggu lepas.

“Peruncit tempatan dan institusi tempatan mencatat peningkatan masing-masing sebanyak +6.6 peratus dan +36.2 peratus manakala pelabur asing turut merekodkan kenaikan berjumlah +8.2 peratus,” katanya.

-- BERNAMA