BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

Malaysia Lindungi Kepentingan, Kedaulatan Negara Dalam Rundingan Tarif Dengan AS - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus berpendirian tegas dalam perkara penting berkaitan kepentingan dan kedaulatan negara ketika rundingan mengenai tarif yang diadakan dengan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata terdapat beberapa perkara yang Malaysia tidak akan kompromi semasa rundingan tersebut.

“Matlamat kita kekal jelas iaitu menjamin akses pasaran eksport Malaysia, memodenkan ekonomi dan melindungi mata pencarian rakyat Malaysia bagi jangka masa panjang,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Sidang media itu diadakan untuk menjelaskan pendirian dan langkah Malaysia seterusnya susulan pengumuman tarif oleh AS pada Isnin.

Beliau berkata pasukan Malaysia perlu mencapai tahap konsensus yang tinggi dalam isu seperti keterjaminan ekonomi, pembelian produk buatan AS dan peningkatan pelaburan di AS untuk membantu mengimbangi perdagangan Malaysia-AS.

“Bagaimanapun, saya ingin tekankan bahawa defisit perdagangan AS dengan Malaysia menunjukkan aliran menurun sejak enam tahun lepas, bermula dari 2019,” katanya.

Mengulas mengenai perkara yang tidak boleh dikompromi, Tengku Zafrul berkata isu seperti cukai digital, pensijilan halal dan pemerolehan kerajaan turut dibangkitkan dalam rundingan tersebut.

Beliau berkata dari segi sektor tertentu, rundingan bagi produk perindustrian merentas sektor adalah seperti jentera dan peralatan, kimia dan produk berasaskan kimia, peranti perubatan, besi dan keluli, aluminium, plastik, automotif serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Bagi produk pertanian pula, rundingan tertumpu kepada buah-buahan, bijirin dan beras, ayam dan itik hidup dan telur, daging, produk daging dan tenusu serta alkohol. Selain itu, terdapat juga dakwaan mengenai halangan bukan tarif,” katanya.

Pada Isnin, AS mengenakan tarif lebih tinggi iatu sebanyak 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.

Angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump berkata tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia atau syarikat Malaysia memutuskan untuk membangunkan atau mengilangkan produk di AS.

Malaysia telah berunding dengan Washington untuk mengurangkan tarif tersebut sejak April, dengan pusingan rundingan terkini diadakan pada 18 Jun.

-- BERNAMA