Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Perdagangan ACAFTA Pacu Langkah Ke Arah FTA ASEAN-Kanada

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Rundingan Perdagangan (TNC) Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada Ke-14 (ACAFTA) dan mesyuarat berkaitan menandakan langkah penting ke arah memajukan FTA ASEAN-Kanada yang moden, berkualiti tinggi dan saling menguntungkan. 

Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur itu disertai hampir 250 delegasi daripada seluruh negara anggota ASEAN dan Kanada.

Ia dipengerusi secara bersama oleh Pengarah Rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia Dina Kurniasari (Indonesia) dan Ketua Pengarah Rundingan Perdagangan (Kanada) Mary-Catherine Speirs, mesyuarat itu dihoskan dan disokong oleh Ketua Perunding Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI)  Vimala Murugan.

“Menjelang TNC, lapan mesyuarat berasingan telah diadakan, merangkumi perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, peraturan asal, isu perundangan dan institusi, piawaian, peraturan teknikal dan prosedur penilaian pematuhan (Stracap), perkhidmatan kewangan, dan amalan kawal selia yang baik (GRP).

“Perbincangan tertumpu pada pelan kerja bersepadu, sasaran dan hasil 2025, kemas kini daripada badan subsidiari, dan sokongan teknikal serta kewangan untuk rundingan berterusan,” kata MITI dalam hantaran di platform X hari ini. 

-- BERNAMA