BERITA TERKINI   Lebih 30,000 akaun pengguna di Johor Bahru alami gangguan bekalan air berjadual selama 26 jam bermula hari ini | Sektor Perkhidmatan Profesional Malaysia catat produktiviti RM94,964 per pekerja tahun ini, tertinggi sejak 2020 - MPC | 

SDB Lancar Kondominium Mewah 'Damai' Berkonsep Letak Kereta Di Depan Pintu Di Taman Melawati

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Selangor Dredging Bhd (SDB), syarikat pemaju hartanah butik melancarkan DaMai, iaitu pembangunan kediaman mewah bertingkat pertengahan di Taman Melawati yang menampilkan konsep ‘letak kereta di depan pintu anda’.

Dibina di atas tapak pegangan bebas seluas 2.897 hektar di Taman Melawati, SDB berharap DaMai yang terdiri daripada satu blok kediaman 17 tingkat dengan 306 unit kediaman berkeluasan antara 2,056 hingga 5,038 kaki persegi, akan menjadi merdu tanda senibina di salah sebuah perbandaran lereng bukit yang terkenal di Kuala Lumpur.

Sehingga kini, SDB telah membina lebih 24 projek kediaman butik di Malaysia dan Singapura serta memenangi 18 anugerah daripada Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI).

Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Kumpulan SDB Teh Lip Kim berkata DaMai yang berkonsepkan ‘letak kereta di pintu masuk anda’ atau ‘letak kereta terus di luar rumah’ menjadi kenyataan susulan sistem laluan pandu atau tanjakan yang direka dengan teliti.

Beliau berkata ciri menonjol DaMai ialah keupayaannya menawarkan pengalaman kereta ke pintu yang lancar dalam rekaan suasana sederhana susulan laluan pandu yang inovatif, membolehkan akses terus kenderaan ke tingkat 4 hingga 16, sekali gus penduduk tidak perlu melalui lobi dan lif sepenuhnya.

“Dalam budaya Malaysia yang tertumpu kepada kereta, tempat meletak kereta ialah satu keperluan. Kebanyakan keluarga kelas pertengahan atas memiliki beberapa kenderaan, dan DaMai menyediakan sehingga enam lot meletak kereta bagi setiap unit.

“Lebih penting lagi, ia terletak betul-betul di depan pintu, menghapuskan pergantungan pada lif dan menjadikan rutin harian lebih mudah, khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak, ibu bapa warga tua atau barang besar untuk dibawa,” kata Teh, penerima anugerah Wanita Hartanah Terbaik Malaysia FIABCI.

Selain itu, menerusi konsep inovatif tersebut, katanya, penduduk boleh menikmati kehidupan terbaik dari kedua-dua dunia iaitu kemudahan kondominium sepenuhnya dengan kebebasan rumah bertanah.

Teh juga menerangkan bahawa selepas mengadakan kajian teliti mengenai sejarah gegaran yang menjejaskan Semenanjung Malaysia, syarikat itu telah mereka bentuk keseluruhan struktur bagi memenuhi piawaian antarabangsa yang paling ketat dan mengukuhkan identiti DaMai sebagai kediaman moden Malaysia.

Terletak di dalam enklaf Taman Melawati yang matang dan memiliki jaringan yang baik, DaMai menyediakan akses kepada pusat bandar Kuala Lumpur menerusi lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya Duta–Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Klang (SUKE), Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE), Lebuhraya Setiawangsa–Lumpur (EKVE), Lebuhraya Setiawangsa–Kuala Lumpur (AKLEH).

 -- BERNAMA