Sentimen Berhati-hati, Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, didagang di bawah paras 1,520 kerana pelabur kekal berhati-hati menjelang tarikh akhir rundingan tarif Amerika Syarikat (AS).
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 7.90 mata atay 0.52 peratus kepada 1,517.50 daripada 1,525.40 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.63 mata kepada 1,523.77, seterusnya bergerak antara 1,516.89 dan 1,526.29 pada sesi dagangan tersebut.
Pasaran lebih luas adalah negatif dengan 558 kaunter rugi mengatasi 289 kaunter untung manakala 434 kaunter tidak berubah, 1,164 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.98 bilion unit bernilai RM1.04 bilion.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata sentimen jangka pendek FBM KLCI dijangka kekal berhati-hati menjelang tarikh akhir 1 Ogos untuk keputusan rundingan tarif AS-Malaysia dan berkemungkinan kejelasan mengenai kawalan eksport AS ke atas penghantaran cip kecerdasan buatan (AI).
“Di peringkat tempatan, musim mengeluarkan keputusan pada Ogos yang akan datang mungkin membebankan sentimen kerana dasar yang memberi cabaran termasuk rasionalisasi subsidi bahan api dan elektrik, kenaikan tarif pelabuhan dan pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan melembapkan permintaan pengguna dan keterlihatan pendapatan teknologi awan,” katanya.
Dalam saham wajaran tinggi, Maybank jatuh enam sen kepada RM9.59, Public Bank turun empat sen kepada RM4.22, CIMB berkurangan tujuh sen kepada RM6.56 dan IHH Healthcare merosot tiga sen kepada RM6.55, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.90.
Bagi saham aktif, NexG menambah satu sen kepada 48.5 sen, Zetrix AI naik1.5 sen kepada 94.5 sen dan Tanco susut 0.5 sen kepada 90 sen, manakala Green Ocean Corporation dan TWL tidak berubah masing-masing pada 12.5 sen dan 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 56.60 mata kepada 11,419.58, Indeks FBMT 100 susut 56.57 mata kepada 11,181.77.04, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 28.82 mata kepada 11,454.36.
Indeks FBM 70 susut 76.82 mata kepada 16,611.58 bagaimanapun Indeks FBM ACE naik 9.42 mata kepada 4,597.04.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 168.82 mata kepada 17,333.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.46 mata kepada 152.93, dan Indeks Tenaga susut 0.79 mata kepada 738.13 manakala Indeks Perladangan rendah 23.24 mata kepada 7,395.18.
-- BERNAMA