BERITA TERKINI   FGV akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia bermula 28 Ogos ini - PM Anwar | PM Anwar tegaskan sebarang keuntungan syarikat berkaitan Felda termasuk FGV mesti disalurkan semula kepada peneroka, bukan semata-mata untuk kepentingan korporat | PM Anwar harap FGV kembali kepada matlamat asal penubuhannya, beri keutamaan kepada hak dan hasil peneroka Felda | Menteri Pertahanan Thailand, Kemboja adakan perundingan di Kuala Lumpur Isnin ini - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM100,000 kepada setiap kampung di Felda untuk bangunkan projek pilihan di kawasan masing-masing | 

TM Lancar Usahawan Digital TM Bagi Perkasa Lebih 2,000 Usahawan B40

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM), melalui Unifi Business, memperkenalkan Usahawan Digital TM untuk memperkasakan 2,200 usahawan B40 daripada pangkalan data eKasih, melengkapkan mereka dengan alatan dan kemahiran digital yang penting untuk berkembang maju dalam ekonomi digital.

Menurut peneraju kumpulan teknologi digital dan telekomunikasi bersepadu itu, inisiatif ini dianggarkan bernilai RM10 juta, dengan purata RM5,000 bagi setiap usahawan disampaikan dalam bentuk peranti, penyelesaian digital dan sumber latihan. 

Katanya program itu merangkumi tiga teras utama - peningkatan kemahiran, alatan perniagaan digital dan program pemerkasaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata sebagai pemacu masa depan digital negara, syarikat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha bersama ini untuk memperkasakan rakyat. 

“Melalui Usahawan Digital TM, kami menyediakan alatan digital, kemahiran dan sambungan 5G untuk membantu usahawan mikro meningkatkan mata pencarian mereka. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Digital Powerhouse 2030 kami dalam menyokong pembangunan bakat dan inovasi di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA