BERITA TERKINI   Mesyuarat AEM ke-57 akan lakar visi jangka panjang Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ketika pelan tindakan AEC 2025 semakin dimuktamadkan akhir tahun ini - Tengku Zafrul | Perdagangan, pendidikan dan pertahanan keutamaan hubungan Malaysia dan Timor-Leste - PM Anwar | Perdagangan barangan ASEAN mencecah US$3.84 trilion, berkembang hampir 9 peratus, manakala perdagangan perkhidmatan berjumlah US$1.3 trilion dengan pertumbuhan 12 peratus -- Tengku Zafrul | KDNK ASEAN cecah US$3.9 trilion pada 2024, berkembang 4.8 peratus, tarik US$226 bilion pelaburan langsung asing – Tengku Zafrul | Negara Anggota ASEAN berharap dapat bekerjasama rapat dengan ASEAN-BAC bagi memastikan dasar kekal relevan, memudahkan dan sejajar dengan realiti perniagaan di rantau ini -- Tengku Zafrul | 

RMK13 Tumpu Reformasi Industri Semikonduktor, Cergaskan Perkhidmatan Global

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) --  Usaha mereformasikan industri semikonduktor tempatan dan mencergaskan industri perkhidmatan global bernilai tinggi merupakan antara tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sebagai langkah memperkukuh kerencaman ekonomi negara.

Menurut Dokumen Utama Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026–2030 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” yang dilancarkan hari ini, inisiatif tersebut selari dengan komitmen kerajaan untuk melonjakkan pertumbuhan industri Pertumbuhan Tinggi Nilai Tinggi (HGHV) serta sektor strategik berimpak tinggi.

“Pelaksanaan kerjasama ini akan berasaskan model pelaburan berpaksikan teknologi dan harta intelek (IP), dengan penglibatan aktif syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang mengutamakan syarikat tempatan sebagai rakan kongsi strategik serta mekanisme pengambilalihan ke atas syarikat teknologi tinggi.

“Inisiatif ini dijangka dapat melahirkan jaguh tempatan bertaraf global dalam reka bentuk litar bersepadu, melonjakkan keupayaan pengeluaran produk bernilai tinggi 'Made by Malaysia', dan meningkatkan bilangan bakat berkemahiran tinggi,” kata dokumen itu.

Bagi pembangunan ekonomi digital, kerajaan menekankan keperluan memperkukuh ekosistem menyeluruh merangkumi pelaksanaan dasar, kecekapan operasi serta infrastruktur digital.

Teknologi seperti digital twin dan platform hiperperibadi dijangka dimanfaatkan untuk memadankan permintaan industri dengan penyelesaian teknologi tempatan.

“Ekosistem bagi menjadikan Malaysia sebagai pengeluar serantau teknologi digital, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), akan diperkukuh melalui inisiatif berkaitan data, platform pengujian dan pemadanan, serta keupayaan keselamatan siber,” kata dokumen itu.

Di bawah agenda ekonomi hijau, Malaysia menetapkan sasaran mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Pelaksanaan inisiatif seperti pasaran karbon, pembangunan tenaga boleh baharu (TBB), dan peluasan akses kepada pembiayaan hijau akan digerakkan bagi menyokong pertumbuhan rendah karbon.

“Malaysia komited melaksanakan pendekatan yang pragmatik dan bersasar bagi menjadikan kelestarian sebahagian daripada model ekonomi arus perdana,” kata laporan itu.

Antara sepuluh keutamaan di bawah agenda Kerencaman Ekonomi yang digariskan dalam dokumen itu termasuk pengukuhan ekonomi hijau dan biru, peningkatan produktiviti negara, penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pemerkasaan sektor ketiga, pembangunan industri berimpak tinggi, keterjaminan makanan, mitigasi banjir, penambahbaikan pengangkutan awam, serta pemantapan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

--BERNAMA