Sidang Kemuncak Penjual Lazada 2025 Bentuk Masa Depan e-Dagang
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak Penjual Lazada 2025 menampilkan pelbagai inovasi teknologi dan pendekatan pemerkasaan penjual bagi membentuk masa depan e-Dagang yang lebih inklusif dan mampan di Malaysia.
Acara anjuran Lazada Malaysia itu menghimpunkan lebih 1,000 penjual dari seluruh negara yang didedahkan dengan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI), strategi penjenamaan, serta pendekatan dagangan sosial yang dipacu pencipta kandungan.
Memasuki tahun kedua penganjurannya, sidang kemuncak ini turut memperkenalkan alat penjual baharu berasaskan AI yang direka untuk membantu penjual mengurus operasi harian, melaksanakan kempen dan mencapai jualan pertama dengan lebih pantas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam ucapannya pada sidang kemuncak berkenaan yang diadakan di sini baru-baru ini berkata langkah itu selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke arah pembangunan ekonomi digital.
“Kami berharap Lazada akan berusaha untuk menggalakkan lebih ramai penjual, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, untuk mula berniaga dalam talian dan memanfaatkan alat digital ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Kaya Qin berkata acara berkenaan mencerminkan pelaburan berterusan syarikat dalam membina ekosistem e-Dagang yang lebih pintar dan menyeluruh.
“Di Lazada, kami komited untuk membina ekosistem e-Dagang yang lebih pintar dan inklusif, tanpa mengira saiz atau latar belakang setiap penjual mempunyai akses kepada alat, cerapan dan peluang yang diperlukan untuk berkembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Acara sehari itu turut mengiktiraf kecemerlangan penjual menerusi beberapa kategori anugerah, termasuk Anugerah Jenama Tempatan Terbaik Tahun Ini yang dimenangi GAIAS Bedding & Bath dan Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd.
Selain itu, forum interaktif bersama barisan Pemimpin Pendapat Utama (KOL) turut diadakan bagi berkongsi strategi membina kempen kandungan berimpak tinggi dan membina hubungan bermakna dengan pengguna masa kini.
Lazada turut menyatakan komitmennya untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi digital tempatan menerusi sokongan strategik seperti subsidi, analisis data lanjutan serta penyelesaian pemenuhan pesanan yang dipertingkatkan.
-- BERNAMA