BERITA TERKINI   PM Anwar beri jaminan kerajaan akan terus pantau, sokong MOM, badan sukan selagi utamakan tadbir urus baik | Tiada toleransi terhadap sebarang isu hooliganisme dan keganasan dalam sukan – PM Anwar | PM Anwar mahu ‘Olympic House’, ibu pejabat Majlis Olimpik Malaysia baharu, siap lebih awal daripada dijadualkan pada 2028 | Amerika Syarikat akan memantau secara dekat bagi memastikan Kemboja dan Thailand terus komited, dan bersedia menyokong usaha ASEAN - Duta Besar | Kemboja-Thailand bersetuju untuk menganjurkan mesyuarat bersama Jawatankuasa Sempadan Luar Bandar (RBC) dalam tempoh dua minggu dan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dalam tempoh sebulan selepas mesyuarat luar biasa GBC - Hun Manet | 

Malaysia Yakin Capai Semua Sasaran Di Ekspo Dunia 2025 Osaka

Daripada Christine Lim

OSAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Malaysia yakin dapat mencapai semua sasaran penyertaan dalam Ekspo Dunia 2025 di sini, kata Timbalan Pengarah Pavilion, Sekretariat Malaysia bagi acara itu, Nor Haslynda Wan Rahim.

Beliau berkata setakat ini, Pavilion Malaysia telah menarik lebih dua juta pengunjung dan mencatatkan pelaburan berpotensi bernilai lebih RM9.1 bilion sejak ekspo itu bermula pada 13 April, 2025.

“Kita telah melepasi sasaran, berdasarkan sambutan hangat, terutama daripada pengunjung Jepun, terhadap hidangan kulinari kita seperti roti canai dan nasi lemak.

“Menurut tinjauan oleh saluran televisyen Jepun, Pavilion Malaysia dipilih sebagai penyedia pengalaman kulinari terbaik dalam kalangan pavilion antarabangsa,” katanya kepada Bernama semasa lawatan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO).

Roti canai dan nasi lemak terbukti begitu popular sehingga pengunjung Jepun sanggup beratur hampir dua jam untuk mencuba hidangan ikonik Malaysia itu.

“Orang ramai datang semata-mata untuk melihat ‘roti canai terbang’ yang unik, apabila doh ditebar tinggi ke udara, dengan harga RM50 setiap hidangan. Purata jualan kita ialah kira-kira 1,500 keping sehari,” katanya.

Mengenai hasil berkaitan pelaburan, Nor Haslynda berkata tumpuannya adalah membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memformalkan padanan perniagaan dengan pelabur antarabangsa dalam sektor seperti tenaga boleh baharu, teknologi digital, bioteknologi, hartanah, pembangunan infrastruktur dan penjagaan warga emas.

Berkenaan pertikaian reka bentuk yang dibangkitkan oleh sebuah firma yang mendakwa reka bentuk pavilion digunakan tanpa pampasan atau pengiktirafan, beliau berkata perbincangan mengenainya masih dijalankan.

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak menjejaskan operasi harian sebelum ekspo ini berakhir pada 13 Okt, 2025,” katanya.

Beliau berkata Sekretariat Malaysia bagi Ekspo Dunia 2025 Osaka, di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kekal komited untuk memastikan kejayaan pavilion dengan mempamerkan kepelbagaian budaya, warisan dan sektor ekonomi utama Malaysia kepada pengunjung global.

-- BERNAMA