EON Bhd Sasar Jualan Lebih 12,000 Unit Kenderaan Tahun Ini
SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Edaran Otomobil Nasional (EON) Bhd menyasarkan jualan lebih 12,000 unit kenderaan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akkbar Danial berkata setakat ini, pihaknya berjaya mencatatkan jumlah jualan kira-kira 6,000 unit kenderaan bagi pelbagai model kereta menerusi kumpulannya.
“Persaingan dalam pasaran meningkat dengan adanya lebih banyak jenama kereta yang dijual di Malaysia. Kini, ia lebih mencabar.
“EON (akan) cuba cari kelainan atau keunikannya dalam industri automotif untuk memastikan kita kekal relevan dalam pasaran dan menjadi antara pilihan utama pelanggan,” katanya selepas melancarkan EON & Sahabat Autofest 2025 di sini hari ini.
EON, yang dikenali sebagai pengedar rasmi untuk jenama kereta nasional Proton juga telah mengedar jenama global seperti Audi, Mitsubishi dan Volkswagen melalui anak syarikatnya.
Akkbar berkata melalui inisiatifnya yang tersendiri, pihaknya amat optimis untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.
EON & Sahabat Autofest 2025 bermula hari ini hingga 10 Ogos 2025 di EON Glenmarie di sini dan di semua cawangan EON di seluruh negara.
Akkbar berkata acara itu akan menawarkan lapan zon aktiviti bagi pengalaman yang menyeluruh apabila pengunjung boleh meneroka pelbagai jenis kenderaan pelbagai jenama, penyelesaian kewangan, perkhidmatan selepas jualan, pengalaman gaya hidup dan aktiviti keluarga.
“Tahun lepas, kita menerima 6,000 hingga 7,000 pengunjung untuk acara ini dan tahun ini, kita menyasarkan kira-kira 10,000 pengunjung.
“Kami juga menganggarkan sebanyak 888 tempahan atau jualan akan diterima dalam masa tiga hari (acara ini),” katanya.
Acara itu turut menyaksikan kerjasama strategik antara EON dan Bank Muamalat Malaysia Bhd untuk melancarkan Kad Kredit Jenama Bersama Muamalat EON Visa Infinite-i dan Muamalat EON Visa Platinum-i.
Akkbar berkata pemegang kad tersebut boleh menikmati pulangan tunai eksklusif untuk transaksi luar negara dan tanpa sentuhan, selain mata ganjaran dan perlindungan Takaful yang komprehensif.
-- BERNAMA