BERITA TERKINI   38,804 PMKS seluruh negara didigitalkan melalui Geran Digital PMKS MADANI 2024 - Teo | Bayi lelaki satu tahun 11 bulan di Terengganu meninggal dunia semalam, disyaki didera ayah kandung dan ibu tiri - Polis | Tular mengenai penunggang motosikal dikenakan tol mulai Oktober depan tidak benar - LLM | Tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini - LLM | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Didagangkan Lebih Rendah Minggu Hadapan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka akan didagangkan lebih rendah minggu hadapan berikutan unjuran pengeluaran dan tahap inventori yang lebih tinggi.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran juga dijangka terjejas oleh kadar eksport yang lembap baru-baru ini.

“Peningkatan stok menyebabkan tekanan ke atas harga memandangkan terdapat lebih banyak bekalan daripada keperluan pasaran pada masa ini.

“Minggu hadapan, kami menjangkakan harga untuk diniagakan antara RM4,180 satu tan hingga RM4,300 satu tan dengan kecenderungan menurun,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengasas bersama dan penganalisa kanan Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata peserta pasaran akan memantau dengan teliti data permintaan serta bekalan Julai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), yang akan dikeluarkan menjelang 11 Ogos depan.

Dari minggu ke minggu, kontrak Ogos meningkat sebanyak RM21 kepada RM4,214 satu tan, September 2025 menokok RM8 kepada RM4,234 satu tan dan Oktober 2025 menambah RM10 kepada RM4,255 satu tan.

Kontrak November 2025 naik RM11 kepada RM4,274 satu tan, Disember 2025 melonjak RM5 kepada RM4,284 satu tan, manakala Januari 2026 susut RM2 kepada RM4,289 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 354,336 lot berbanding 293,302 lot yang disaksikan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 311,976 kontrak daripada 224,913 kontrak. 

Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan adalah RM20 lebih baik kepada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA