BERITA TERKINI   Kematian pelatih kadet PALAPES UTM: 22 saksi telah diambil keterangan - Ketua Polis Johor | AGC putuskan untuk mengadakan inkues bagi ketahui punca dan sebab kematian Zara Qairina | Petronas Chemicals catat rugi bersih RM1.08 bilion pada suku kedua 2025 daripada untung bersih RM777 juta pada suku kedua 2024, umum dividen 3 sen bagi tahun kewangan 2025 | Kebolehpasaran graduan negara capai 95.1 peratus hasil reformasi TVET - Ahmad Zahid | Syamsul Haris: Jawatankuasa Siasatan dapati tidak ada unsur-unsur penderaan ke atas mangsa - Mohamed Khaled | 

Logam Asas, Galian Bukan Logam Dan Kayu Sumbang Nilai Pelaburan Asing Tertinggi Di Sabah

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Terdapat tiga industri utama dalam sektor perkilangan di Sabah yang menyumbang nilai pelaburan asing tertinggi dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari 2015 hingga 2024, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut MITI dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, tiga industri itu ialah keluaran logam asas menyumbang sebanyak RM4.3 bilion, galian bukan logam (RM2.5 bilion) dan kayu (RM99.1 juta).

“Bagi sektor perkhidmatan, subsektor utama ialah hotel dan pelancongan dengan nilai sebanyak RM205 juta dan perkhidmatan sokongan RM37.9 juta,” katanya.

Ia menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) berhubung jumlah sebenar yang telah dilaburkan oleh pelabur dari luar negara ke Sabah sejak 10 tahun lepas hingga kini.

Menurut MITI, bagi tempoh suku pertama 2025, Sabah telah menduduki tempat ketiga bagi nilai pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama berjumlah RM10.9 bilion.

Dalam pada itu, katanya sebanyak 25 projek pelaburan asing dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dengan nilai RM7.18 bilion telah direalisasikan di Sabah dalam tempoh 10 tahun.

“Pelaburan asing ini telah mewujudkan sebanyak 3,138 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya. 

-- BERNAMA