BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan TRW 3-1 KL City | Piala FA: Negeri Sembilan 5-0 PDRM | Sektor pembuatan bukan sektor masa lepas - Ia adalah sektor masa hadapan - PM Anwar  | Sektor pembuatan Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam era baharu ini melalui kerjasama dan dasar yang tepat - PM Anwar | 

UMC Tingkat Kapasiti Keluaran, Lancar Kemudahan Baharu Di Batu Kawan

GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- UMediC Group Bhd (UMC) telah menggandakan kapasiti pengeluarannya susulan pengembangan operasinya di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang. 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan UMC berkata kemudahan baharu itu, yang dilancarkan pada 15 Ogos, mempunyai ruang pengeluaran tambahan seluas 20,000 kaki persegi berbanding kemudahan sedia ada milik UMC sebanyak 30,000 kaki persegi. 

“Pengembangan itu merangkumi tiga komponen utama, iaitu Pusat Penjagaan Kesihatan UMC, Perkhidmatan Ambulans Penyelamat Perubatan, dan Pusat Pembelajaran UMC, dan pertumbuhan ini menunjukkan komitmen mereka kepada masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian ini mencerminkan visi dan komitmen UMC yang kukuh untuk meningkat dalam rantaian nilai, seiring dengan strategi nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk memacu inovasi, kepelbagaian dan penawaran bernilai tinggi. 

Beliau berkata UMC telah berkembang daripada pengeluar peranti perubatan kepada penyedia penjagaan kesihatan bersepadu dengan memanfaatkan teknologi canggih, peralatan digital, serta penyelidikan dan perubatan (R&D). 

Selain itu, penubuhan pusat latihan dan perkhidmatan ambulans mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran sambil menyumbang kepada peningkatakn industri penjagaan kesihatan Malaysia. 

Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan negeri Daniel Gooi Zi Sen.

“Kejayaan UMC merupakan satu kebanggaan kepada Pulau Pinang, memacu ekonomi kita dan mengukuhkan reputasi global negara,” katanya.

UMC mengeluarkan peranti asas seperti pelembap praisi, penebula praisi, pengatur lelah asma, yang dieksport ke kira-kira 40 negara.

Ia merupakan syarikat pertama di dunia yang memperoleh pensijilan halal bagi pelembap praisinya. Selain pengeluaran, UMC turut berperanan penting dalam pengedaran peranti perubatan dan makmal sokongan hayat kritikal, bagi jenama global seperti Philips, GE serta AliveDx. 

Ketika ini, UMC turut menawarkan latihan perubatan, perkhidmatan ambulans, dan operasi pusat penjagaan kesihatan, mewujudkan rantaian bekalan kesihatan yang komprehensif dan bersepadu. 

CEO UMC Eric Lim Taw Seong berkata kumpulan syarikat itu akan terus mengembangkan operasi dan perkhidmatannya dalam pelbagai bidang industri penjagaan kesihatan, seiring dengan visinya untuk menyediakan rantaian bekalan penjagaan kesihatan bersepadu dengan teknologi canggih serta meningkatkan kualiti kehidupan manusia. 

-- BERNAMA