BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan TRW 3-1 KL City | Piala FA: Negeri Sembilan 5-0 PDRM | Sektor pembuatan bukan sektor masa lepas - Ia adalah sektor masa hadapan - PM Anwar  | Sektor pembuatan Malaysia bersedia untuk berkembang maju dalam era baharu ini melalui kerjasama dan dasar yang tepat - PM Anwar | 

Macquarie Asset Management Berminat Melabur Di Malaysia - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pengurus dana global, Macquarie Asset Management menunjukkan minat untuk melabur dalam pelbagai sektor di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Beliau berkata Macquarie yang merupakan antara pelabur terkemuka dunia melihat potensi besar untuk melabur dalam sektor seperti infrastruktur dan tenaga boleh baharu, sejajar dengan dengan inisiatif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) dan Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR).

"Minat mereka membuktikan bahawa Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan utama, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi dan hijau. 

"Komitmen mereka mengukuhkan lagi usaha kita untuk menjadi hab serantau yang mampan dan berdaya saing," katanya menerusi hantaran di laman X.com hari ini. 

Tengku Zafrul berkata beliau turut mengadakan perbincangan secara produktif bersama pihak Macquarie berhubung perkara itu. 

"Saya yakin, kerjasama seperti ini akan memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia," katanya. 

Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau turut mengadakan pertemuan bersama pengurus dana terkemuka dunia seperti GIC, UBS, dan Manulife IM di persidangan Invest Malaysia yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia dan Macquarie di Singapura. 

Beliau berkata perbincangan itu bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelaburan neutral dan berdaya tahan di ASEAN. 

"Antara fokus utama yang kita ketengahkan termasuklah perkembangan positif NIMP2030 dan Pelan Induk Semikonduktor Kebangsaan (NSS). 

"Kita juga kongsikan kemajuan dalam menarik pelaburan, yang mana RM63 bilion pelaburan semikonduktor telah berjaya kita peroleh. Komitmen ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar-dasar kita yang jelas, seterusnya menjamin kestabilan untuk para pelabur," katanya.

-- BERNAMA