BERITA TERKINI   PETRA akan lancar Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2026–2035 (NEEAP 2.0) menjelang akhir tahun - TPM Fadillah | PETRA sedang jalankan kajian kebolehlaksanaan tenaga nuklear, termasuk reaktor modular kecil untuk menilai potensinya sebagai sumber kuasa beban asas yang stabil -- TPM Fadillah | PETRA sedang jalankan kajian kebolehlaksanaan mengenai tenaga nuklear untuk menilai potensinya sebagai sumber tenaga beban asas yang stabil - TPM Fadillah | Perdagangan Malaysia meningkat semula sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion pada Julai 2025 - MITI | Lebihan dagangan Malaysia dicatatkan pada bulan ke-63 berturut-turut, bernilai RM14.98 bilion untuk Julai 2025 - MITI | 

PETRA Perkukuh Inisiatif Penawaran Elektrik Hijau Untuk Sektor Industri

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memperkukuh inisiatif penawaran bekalan elektrik hijau berasaskan akses pihak ketiga bagi memperluas penggunaan tenaga bersih khususnya dalam kalangan sektor industri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri PETRA berkata langkah itu akan membolehkan lebih ramai pengguna industri mendapat akses kepada bekalan elektrik hijau sekali gus membantu syarikat memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu akan dilakukan melalui program seperti Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu Komuniti (CREAM) serta program solar bumbung termasuk Kegunaan Sendiri (SelCo).

"Selain itu, Kementerian juga akan mengenal pasti inisiatif-inisiatif baharu bekalan elektrik hijau yang akan dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi memangkin pelaburan dan aktiviti ekonomi berimpak tinggi kepada negara," katanya dalam sesi penggulungan perbahasan usul RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, projek sambungan elektrik hijau antara Vietnam, Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan bagi menyalurkan tenaga boleh baharu, selaras dengan visi Grid Kuasa ASEAN untuk mewujudkan pasaran tenaga yang berdaya tahan, mampan dan saling berhubung.

Sementara itu, Fadillah berkata sebanyak 495 projek pembangunan PETRA sedang dalam pelbagai kategori pelaksanaan, dengan 113 projek telah disiapkan dan 256 projek dalam peringkat pelaksanaan.

"Sebanyak 123 projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan yang merangkumi pelbagai peringkat seperti proses reka bentuk, proses perolehan, pengambilan balik tanah dan Notis Perubahan (NOC). 

"Bagi RMK13 pula, PETRA akan meneruskan projek-projek yang menjadi keutamaan kementerian dan negeri-negeri," kata beliau. -- BERNAMA