Ringgit Kekal Stabil Berbanding Dolar AS, Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama Lain

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Ringgit kekal stabil berbanding dolar AS dan turut ditutup tinggi berbanding mata wang utama lain pada Selasa disokong oleh prestasi perdagangan Malaysia yang kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada Julai.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), prestasi perdagangan negara meningkat semula sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion pada Julai, merekodkan nilai perdagangan bulanan tertinggi pernah dicatatkan.

Pada 6 petang, unit tempatan mencatatkan penyusutan sedikit kepada 4.2215/2255 berbanding dolar AS daripada paras 4.2200/2240 pada Isnin.

MITI berkata eksport pada Julai melonjak 6.8 peratus kepada RM140.45 bilion, nilai bulanan tertinggi sejak September 2022, manakala import meningkat 0.6 peratus kepada RM125.47 bilion.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data eksport terkini menunjukkan sektor luar Malaysia masih "agak baik" walaupun terpaksa berdepan dengan tarif AS.

“Oleh itu, ringgit dijangka terus kekal kukuh pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata pemain pasaran akan memantau mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) di Jackson Hole Symposium hujung minggu ini, dengan tumpuan kepada ucapan pengerusinya Jerome Powell pada Jumaat ini.

"Peniaga dan pelabur nampaknya cenderung menjangkakan kemungkinan penurunan 25 mata asas pada September kerana petanda pasaran buruh AS yang lebih lemah kelihatan semakin ketara dan pasaran berharapkan kadar yang lebih rendah.  

“Oleh itu, sebarang keputusan yang berbeza daripada pandangan ini boleh memberi kesan kepada trajektori pasaran mata wang," katanya.

Pada penutup dagangan ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan ditutup kukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8572/8601 daripada paras penutup 2.8632/866 pada Isnin, naik berbanding pound Britain kepada 5.7066/7120 daripada 5.7139/7193, namun susut berbanding euro kepada 4.9307/9354 daripada 4.9290/9336.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2901/2935 daripada 3.2902/2936 pada Isnin, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9848/13.0027 daripada 12.9942/13.0121, menambah berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.40 daripada 7.40/7.42 dan menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 259.8/260.2 daripada 260.4/260.9.

-- BERNAMA