Pasaran Getah Malaysia, Serantau Ditutup Rendah Susulan Perluasan Tarif AS
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini sejajar dengan rakan serantaunya berikutan pengumuman tarif terbaharu Amerika Syarikat, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pemain pasaran kekal di luar pasaran sementara menunggu isyarat seterusnya mengenai dasar monetari AS.
“Jabatan Perdagangan AS memperluaskan senarai tarifnya pada Selasa dengan menambah 407 kategori produk terbitan keluli dan aluminium.
“Kesemua produk akan dikenakan tarif 50 peratus ke atas mana-mana kandungan aluminium dan keluli, serta kadar negara bagi kandungan bukan keluli dan bukan aluminium,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh peningkatan harga minyak mentah dan data ekonomi China yang lebih baik di tengah-tengah jangkaan lebih banyak rangsangan ekonomi.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 susut 14.5 sen kepada 724.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun lima sen kepada 567 sen.
-- BERNAMA